PUTRAJAYA- Sistem Pangkalan Data Utama (Padu) yang dilancarkan hari ini dilihat memberi jaminan bahawa manfaat dan kemudahan ditawarkan kerajaan bakal dinikmati sepenuhnya golongan layak, seterusnya berupaya mengelakan sebarang ketirisan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pelaksanaan inisiatif itu juga disifatkan mampu mengurangkan kos perbelanjaan selepas jumlah subsidi ditanggung kerajaan ketika ini melebihi RM80 bilion.
“Hari ini kita telah kenalkan Padu di mana seperti dijelaskan Rafizi Ramli (Menteri Ekonomi), pertamanya ia selaras dengan pendekatan dan transformasi digital.
“Kedua, ia memberi jaminan manfaat dan kemudahan itu dinikmati orang yang berhak menerimanya dan tentunya dengan cara demikian dapat kurangkan kos serya ketirisan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelacaran PADU di Pusat Konvensyen Putrajaya di sini tadi.
Hadir sama pada pelancaran itu ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dan barisan Kabinet yang lain. – KOSMO! ONLINE