GOMBAK – Sekumpulan penjenayah yang aktif mencuri tabung ekzos kenderaan termasuk bas di sekitar daerah ini tumpas selepas polis menahan 15 lelaki termasuk dua warga Bangladesh pada Jumaat lalu.
Tangkapan ke atas 15 suspek yang berusia lingkungan 27 hingga 56 tahun itu dibuat di sekitar Gombak, Rawang serta Sentul susulan pihak polis menerima beberapa laporan berhubung kehilangan ekzos.
Ketua Polis Daerah Gombak, Assisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan mendapati suspek menjual ekzos berkenaan pada harga antara RM500 sehingga RM2,000 mengikut jenis kepada pemilik besi buruk.
“Hasil siasatan lanjut juga mendapati tabung ekzos itu dicuri bagi tujuan melenturkan barang berharga.
“Hasil tangkapan itu, polis merampas pelbagai jenis tabung ekzos kenderaan termasuk yang sudah dileraikan di premis besi buruk serta kedai lerai komponen kenderaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.
Mengulas mengenai modus operandi, Arifai berkata, suspek mendakwa melakukan kegiatan itu pada waktu malam dan mensasarkan kenderaan yang diletakkan di luar premis dan kediaman.
“Mereka menggunakan jet tayar untuk angkat kenderaan bagi memotong ekzos.
“Siasatan pembabitan kumpulan itu masih dijalankan kerana kita percaya ada pemilik kenderaan yang tidak tampil membuat laporan polis mengenai kehilangan ekzos kenderaan mereka,” ujarnya.
Kesemua suspek direman sehingga hari ini dan kes disiasat Seksyen 379A Kanun Keseksaan. – K! ONLINE