PUTRAJAYA – Spekulasi mengenai ada usaha pihak pembangkang mahu menumbangkan kerajaan menerusi Langkah Dubai disahkan sendiri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Presiden UMNO yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengakui, beliau menerima laporan ‘perisikan’ berhubung perkara tersebut yang ‘panas’ sejak minggu lalu.
Beliau namun tidak mendedahkan sumber maklumat yang diperoleh itu malah tidak menyatakan siapakah tokoh politik yang menjadi dalang Langkah Dubai.
“Laporan dari segi ‘perisikan’ memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu, tetapi pada hemat kami, langkah itu membuang masa.
“Hanya mereka yang datang ke mesyuarat itu tahu,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Taklimat dan Penyelarasan Situasi Terkini Banjir, di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE