GOMBAK – Menawarkan upah RM300 kepada penganggur dan pelajar lepasan sekolah untuk menyimbah cat di rumah peminjam ahlong.
Itulah taktik digunakan seorang individu untuk menarik golongan tersebut bersekongkol melakukan kegiatan menyimbah cat.
Bagaimanapun, kegiatan itu terbongkar selepas orang awam menahan tiga lelaki dalam keadaan mencurigakan di Jalan Bukit Permata di sini pada Isnin lalu sebelum diserahkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, hasil siasatan terhadap tiga suspek berusia 20 hingga 25 tahun itu mendapati mereka ditawarkan upah RM300 untuk menyimbah cat ke atas rumah dan kenderaan yang diarahkan.
Katanya, hasil siasatan mendapati tiga suspek itu tidak tahu tujuan mereka menyimbah cat dan hanya memberi gambar kepada seorang lelaki dikenali sebagai Kelvin sebaik selesai melakukan kegiatan itu.
“Dalam tangkapan itu, pihak polis turut merampas beberapa telefon bimbit, komputer riba serta beberapa tong dan botol berisi cat merah dalam dua kenderaan yang dinaiki tiga suspek tersebut.
“Semakan juga mendapati enam laporan berhubung kejadian simbah cat dilaporkan di daerah Gombak sejak awal tahun yang dipercayai dilakukan suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di sini hari ini.
Menurutnya lagi, hasil siasatan lanjut mendapati tawaran kerja sambilan itu diterima daripada Kelvin melalui iklan di media sosial.
“Bertindak atas maklumat kita memberkas Kelvin di rumah sewanya di Kajang pada hari yang sama.
“Hasil siasatan awal kita percaya suspek merupakan orang tengah kepada sindiket ahlong dengan menerima upah bagi melakukan kerja-kerja menyimbah cat,” ujarnya. – K! ONLINE