PETALING JAYA – Keadaan anggota Senario Hamdan Ramli yang ditidurkan berikutan jangkitan kuman dalam darah semakin stabil apabila sudah memberikan respons positif, semalam.
Khabar gembira itu dikongsikan isterinya, Nurhamalini Ahmed, 52, yang memaklumkan pelakon dan pelawak berusia 54 tahun itu menggerakkan mata dan tangan sebagai tindak balas terhadap perbualan antara mereka.
Katanya, keluarga juga masih menunggu hasil laporan ujian ultra bunyi daripada pihak Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru bagi mengenalpasti penyakitnya.
“Alhamdulillah, sudah ada tanda-tanda positif ketika kami melawat abang (Hamdan) semalam apabila dia bagi respons termasuk genggam tangan ketika saya bercakap di telinganya.
“Doktor maklumkan sudah kurangkan ubat yang membolehkan dia sedar, cuma belum dapat berbual kerana masih diberikan oksigen.
“Setakat ini kami belum menerima laporan ujian, namun terus berdoa semoga keadaan abang kembali pulih seperti sedia kala,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Online.
Ibu kepada empat cahaya mata itu turut berterima kasih kepada doktor pertugas kesihatan, rakan artis serta peminat yang tidak putus mendoakan suaminya.
Menurut Nurhamilini, ramai sahabat datang dan bertanya khabar termasuk anggota kumpulan Senario serta penyanyi Rahmad Mega bersama isterinya yang turut menawarkan tempat tinggal sementara sepanjang Hamdan dirawat di hospital.
Terima kasih kepada semua yang prihatin dan tak henti mendoakan kesejahteraan abang, malah Rahmad pelawa saya dan anak-anak tinggal di rumah inapnya di Pasir Gudang sebab tahu kami dari Ipoh.
“Insya-Allah mungkin selepas 4 Januari kerana buat masa ini saya dan dua anak tinggal di sebuah hotel di Johor Bahru untuk berulang-alik ke hospital,” ujarnya.
Nurhamalini turut memaklumkan andai kesihatan Hamdan semakin baik, dia berharap dapat memindahkan suaminya ke Hospital Ipoh, Perak.
“Kalau dapat pelepasan saya nak minta suami dipindahkan ke hospital di Ipoh kerana berdekatan rumah serta keluarga kami.
“Tapi apa pun saya serahkan kepada doktor untuk sebarang pertimbangan kerana paling penting sekarang kesihatan abang stabil dulu,” katanya.
Hamdan atau nama sebenarnya Ahmad Hamdan Mohamed Ramli ditidurkan Unit Rawatan Rapi (ICU), HSA kelmarin akibat jangkitan kuman dalam darah.
Difahamkan doktor mengesyaki selebriti yang menghidap penyakit kencing manis sejak beberapa tahun lalu itu ada masalah buah pinggang.
Sebelum ini anaknya, Muhamad Syazreen Haqem memaklumkan Hamdan mengalami sesak nafas dan memerlukan bantuan oksigen selepas demam serta cirit-birit sejak Ahad lalu.
Hamdan berada di Johor Bahru kerana terlibat dengan program Wonderful Night with Senariounion bersama anggota kumpulan Senario iaitu Azlee, Saiful Apek, Wahid, Yassin dan Ilya. – KOSMO! ONLINE