PETALING JAYA – Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) berjaya memindahkan tujuh pesakit melibatkan tiga perkampungan Orang Asli sekitar Gua, Musang, Kelantan menggunakan helikopter semalam.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, operasi berkenaan dilakukan semasa unit udara JBPM membuat penghantaran bekalan makanan (Resupp) ke pos Orang Asli di kawasan pedalaman Gua Musang.
Jelasnya, operasi ‘medical evacuation’ (Medevac) itu melibatkan tiga perkampungan Orang Asli iaitu Pos Bihai, Pos Gob dan Pos Tembaga yang bermula kira-kira pukul 2.30 petang dan berakhir empat jam kemudian.
“Bagi operasi di Pos Bihai, kita telah memindahkan dua orang pesakit kanak-kanak yang mengalami cirit-birit, demam panas dan penafasan laju ke Hospital Gua Musang.
“Selepas membuat pengisian bahan api, pesawat kemudian berlepas ke Pos Gob untuk mengambil dua pesakit iaitu seorang kanak-kanak perempuan dan individu dewasa yang memerlukan rawatan lanjut di Hospital Gua Musang,”katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Nor Hisham, pesawat seterusnya berlepas dari Pos Gob ke Pos Tembaga untuk mengambil dua wanita mengandung dan seorang pesakit kanak-kanak lelaki yang lemah anggota badan.
Katanya, kesemua tujuh pesakit berjaya dibawa keluar dari Pos Bihai, Pos Gob dan Pos Tembaga menggunakan sebuah helikopter jenis Mi-171 sebelum di hantar ke Hospital Gua Musang.
Terdahulu, Nor Hisham memaklumkan, pada operasi Resupp, pihaknya telah menghantar lebih 4.7 tan bekalan makanan ke tiga buah perkampungan Orang Asli iaitu Pos Bihai, Pos Gawin dan Pos Gob.-KOSMO! ONLINE