GOMBAK – Geng 36 yang menjadi buruan polis sejak tiga tahun lalu berjaya dilumpuhkan susulan penahanan ketuanya yang dikenali sebagai Malik Selayang.
Geng 36 yang diketuai Malik itu dikatakan aktif melakukan jenayah bagi perebutan kawasan di sekitar Gombak, Selayang dan Batu Caves.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, suspek utama berusia 30-an itu ditahan di rumahnya di Damansara, Petaling Jaya pada 31 Oktober lalu.
Turut dirampas sepucuk pistol jenis Revolver. 38 dalam serbuan itu.
Katanya, hasil semakan mendapati suspek itu mempunyai 10 rekod lampau termasuk tujuh daripada dikehendaki polis.
“Seramai 17 suspek termasuk Malik serta dua adik-beradiknya ditahan sejak awal tahun dipercayai terlibat dalam kumpulan kongsi gelap itu.
“Daripada jumlah itu tujuh sudah didakwa di mahkamah manakala selebihnya ditahan mengikut Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak hari ini.
Menurutnya lagi, hasil siasatan mendapati geng tersebut aktif melakukan kegiatan jenayah sejak 2017 dan sebanyak 21 laporan diterima berkaitan mereka.
“Kita masih buru lima lelaki yang dipercayai ahli kumpulan tersebut. Identiti mereka sudah dikenal pasti dan usaha memburu sedang giat dijalankan,” ujarnya. – K! ONLINE