TANGGAL 26 Disember 2004, berlaku kejadian tsunami yang dianggap bencana alam terburuk dalam lipatan sejarah sehingga mengorbankan hampir 283,000 nyawa, manakala 14,000 lain gagal ditemui dan 1.12 bilion penduduk hilang tempat berteduh.
Gempa bumi kelima terkuat dalam sejarah dunia sejak tahun 1900 itu mencetuskan ombak setinggi lebih 30 meter bersamaan ketinggian bangunan 10 tingkat yang menghempas beberapa pusat peranginan sehingga memusnahkan harta benda.
Malaysia turut terkena tempias ombak tsunami itu apabila empat negeri iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dilaporkan dibadai ombak ganas itu.
Jumlah tertinggi mangsa korban adalah di Pulau Pinang iaitu sebanyak 52 orang diikuti Kedah sebanyak 12 orang, Perak sebanyak dua orang dan Selangor seorang.
37 daripada mangsa yang terkorban di Pulau Pinang terdiri daripada orang awam yang sedang berkelah di Pantai Miami, Batu Ferringhi.
Setiap kali ‘ulang tahun’ peristiwa itu pada 26 Disember, A. Suppiah yang menghuni sebuah rumah di Pantai Miami bukan sahaja terkenang tragedi dahsyat yang meragut nyawa ramai itu tetapi juga suara-suara tangisan dari laut yang pernah ‘menghantuinya’.
Suppiah yang kini berusia 74 tahun berkata, dahulu dia sering terdengar bunyi suara orang menangis di sepanjang pantai dan di kawasan laut pantai berkenaan.
“Suara menangis ini saya dengar di tengah-tengah malam, sebelum ini saya telah tinggal di pantai ini sejak kecil lagi dan tidak pernah dengar bunyi-bunyi pelik sebegitu.
“Saya mencari-cari sekiranya ada kelibat manusia di kawasan pantai yang menangis, namun tiada sesiapa di situ,’’ katanya kepada K2 baru-baru ini.
Suppiah berkata, suara orang menangis itu kedengaran hampir setiap malam, namun dia dan keluarganya bernasib baik kerana tidak pernah terserempak dengan mana-mana entiti tidak diingini di Pantai Miami.
Katanya, suara orang menangis itu akan bermula pada waktu tengah malam dan hanya terdengar sayup-sayup suara mereka.
“Suara seperti itu kadang-kadang kita dengar perlahan dan kadang-kadang kita dengar dengan kuat. Ketika itu anak saya masih kecil lagi dan dia turut menangis apabila suara-suara itu kedengaran.
“Kadangkala saya terdengar seperti suara orang meminta tolong dari laut, namun saya tidak pernah ternampak apa-apa di tengah laut,” katanya.
Suppiah berkata, mengikut kepercayaan agamanya, suara orang menangis itu berasal daripada roh-roh yang tidak tenteram dan mungkin ia adalah roh mangsa-mangsa yang terkorban dalam kejadian tsunami.
“Apabila suara-suara menangis ini semakin kuat, kadang kala saya bercakap dengan mereka, saya beritahu mereka bahawa kematian mereka adalah kerana bencana alam.
“Jadi mereka perlu ‘tenang’ di alam sana dan jangan menggangu mereka yang masih hidup di alam ini. Apabila saya bercakap begitu suara-suara menangis ini akan terhenti seketika,” katanya.
Suppiah yang juga bapa kepada ‘bayi ajaib’, S. Thulassi yang terselamat ketika kejadian tsunami berkata, kejadian suara orang menangis di tengah malam di kawasan Pantai Miami itu berlarutan selama setahun sehingga tahun 2005.
“Saya berjumpa dengan ramai orang dan bertanya kepada mereka bagaimana caranya untuk mententeramkan ‘roh-roh’ yang tidak aman ini.
“Mereka beritahu saya agar tiap-tiap tahun pada 26 Disember saya perlu laksanakan upacara ritual khas di kawasan pantai untuk roh-roh ini,” katanya.
Suppiah berkata, dia akhirnya membuat keputusan untuk melakukan upacara ritual khas setiap 26 Disember bermula tahun 2005 khusus untuk roh-roh yang tidak tenteram itu.
“Selepas saya memulakan ritual khas ini, bunyi suara-suara orang menangis tidak lagi kedengaran di Pantai Miami dan kawasan pantai kembali tenang.
‘’Setiap tahun sejak 2005 dan sehingga kini, saya serta keluarga tidak akan pernah lupa menjalankan ritual khas ini,’’ katanya.