fbpx

Konflik Palestin-Israel: Britain beri amaran serang Houthi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kapal kargo Galaxy Leader yang dirampas oleh Houthi berlabuh di sebuah pelabuhan di wilayah Hodeida, Yemen pada 22 November 2023. - AFP

LONDON – Britain bersedia untuk melancarkan serangan udara ke atas kumpulan pemberontak Houthi di Yemen dalam tindak balasnya terhadap kekacauan yang ditimbulkan di Laut Merah, lapor akhbar The Sun UK kelmarin.

Setiausaha Pertahanan, Grant Shapps berkata, London bersedia untuk bertindak balas selepas berminggu-minggu Houthi menyerang hendap dan memintas kapal-kapal di perairan luar pantai Yemen.

Misi tersebut sekiranya dilakukan, akan meningkatkan lagi ketegangan di rantau tersebut ketika sekutu-sekutu Barat merancang untuk bekerjasama menentang kumpulan yang disokong Iran tersebut.

“Kami bersedia untuk mengambil tindakan langsung dan tidak akan teragak-agak melaksanakan langkah selanjutnya bagi menghalang ancaman terhadap kebebasan pelayaran di Laut Merah.

“Kami komited untuk menghalang pihak yang bertanggungjawab ke atas rampasan dan serangan yang menyalahi undang-undang,” kata Shapps dalam satu temu bual dengan akhbar Telegraph.

Seorang sumber kerajaan memberitahu akhbar The Times bahawa Britain berkemungkinan mengerahkan pesawat perang Tentera Udara Diraja atau kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut Diraja, HMS Diamond.

Sekiranya rancangan itu diteruskan, Britain akan menyertai Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara Eropah lain yang sedang mempertimbangkan langkah serupa iaitu untuk melancarkan serangan ke atas kumpulan Houthi.

“Kumpulan pemberontak yang mengganggu perdagangan di Laut Merah ini sedang diberi peluang terakhir mereka. 

“Jika mereka terus mengancam nyawa dan perdagangan, kami terpaksa mengambil tindakan yang dirasakan perlu,” kata Shapps.

Sumber kerajaan yang sama menegaskan bahawa meskipun perancangan sedang dilakukan untuk pelbagai senario (di Laut Merah), tiada sebarang keputusan rasmi dibuat setakat ini dan pihaknya akan terus menggunakan kaedah diplomatik.

Kelmarin, Tentera Laut AS memusnahkan beberapa bot kecil milik Houthi ketika ia cuba merampas sebuah kapal kontena di Laut Merah.

Badan Penyiaran Britain (BBC) melaporkan, empat bot dari wilayah yang dikuasai Houthi di Yemen itu pada awalnya menembak kapal Maersk Hangzhou sebelum tiba beberapa meter dari lokasi ia belayar.

Beberapa helikopter dari kapal perang AS yang belayar di lokasi berdekatan kemudian bertindak balas dengan menembak tiga bot kumpulan berkenaan dalam usaha ‘untuk mempertahankan diri’.

Serangan itu menyebabkan 10 anggota pemberontak Houthi terbunuh, manakala bot keempat berundur dari lokasi kejadian.

Jurucakap Houthi berkata, kapal kontena Maersk Hangzhou enggan patuh terhadap amaran yang dikeluarkan.

Kumpulan Houthi telah menyerang kapal-kapal yang belayar Laut Merah sejak November lalu dengan melancarkan lebih 100 serangan dron dan peluru berpandu. 

Pihaknya mendakwa bahawa serangan itu ditujukan kepada kapal-kapal yang berkaitan dengan Israel sebagai tindak balas terhadap perang Rejim Zionis di Semenanjung Gaza. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI