fbpx

Kongsi kisah Ashabul Kahfi sebagai pedoman buat penjawat awam – Anwar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini mengupas kembali ucapan beliau dalam sebuah majlis bersama penjawat awam yang disalah tafsir sehingga mendatangkan cacian dan cemuhan oleh sesetengah pihak.

Menurut Anwar, beliau mengaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran untuk menyeru penjawat awam agar sentiasa menerapkan nilai murni dan akhlak ketika menjalankan tugas.

Beliau juga berpesan agar penjawat awam kekal amanah ketika menjalankan tanggungjawab masing-masing.

Anwar berkata, mesej utama ucapan tersebut adalah untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia agar mengambil iktibar daripada kisah pemuda Ashabul Kahfi.

“Tujuan saya adalah untuk mengingatkan mereka (penjawat awam) bahawa kemampanan ekonomi itu penting. Ketika itu, kita berbincang mengenai peralihan tenaga, transformasi digital dan sebagainya. Tetapi saya ingatkan bahawa, merentas semua soal ini adalah isu nilai dan akhlak.

“Dalam konteks itulah saya bawa ayat al-Quran daripada surah al-Kahfi dengan maksud ingin memohon penjawat awam supaya bekerja sebagai satu pasukan (tetapi) jangan meninggalkan soal iman, keyakinan, akhlak dan nilai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, ucapannya pada hari tersebut adalah turut menyentuh berkenaan keteguhan dan kekentalan iman tujuh pemuda Ashabul Kahfi yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan.

“Sejauh mana kesibukan kita, kepesatan pembangunan sementalahan teknologi dunia berputar, iman kita harus diangkat selain dijaga nilai mahu pun akhlak.

“Saya kaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran surah al-Kahfi di mana pada masa itu sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di sebuah gua.

“Justeru, adalah wajar agar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah tersebut,” jelasnya.

Bagaimanapun, Anwar kecewa apabila ada pihak yang menyalahtafsirkan ucapan tersebut sehingga menyebabkan perbalahan, cacian dan cemuhan pada sesetengah pihak, termasuk pendakwah mahupun ulama.

“Bagi saya, ini keterlaluan dan tidak sepatutnya terjadi. Sayugia, budaya wacana yang baik harus dijulang, bukannya diangkat cerca kritikan melampau, khasnya melibatkan konteks ayat al-Quran yang kini semakin meluas dibahas di media sosial.

“Moga mutu kefahaman tentang Islam terus dipertingkat, insya-Allah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI