SEGAMAT – Seekor buaya dipercayai sesat dan berkeliaran di pekarangan sebuah rumah penduduk di Jalan Temenggung, Kampung Berata awal pagi tadi di sini hari ini.
Kehadiran reptilia berukuran kira-kira tiga meter itu disedari penghuni rumah pada pukul 4.49 sebelum menghubungi talian kecemasan.
Penolong Penguasa Bomba Muhammad Hazim Abdul Razak berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) menerima panggilan kecemasan sebelum 10 anggota Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Segamat bersama tiga jentera dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Sejurus tiba pasukan kita dapati benar ada seekor buaya berada di kawasan rumah penduduk dipercayai tersesat.
“Kemungkinan besar buaya ini datang dari kawasan bekas lombong berhampiran kampung,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Muhammad Hazim berkata, pasukan operasi melakukan tangkapan dengan menggunakan alat penjerut.
Jelasnya, haiwan itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bagi pemindahan ke habitat asal.
“Ini adalah sejarah dalam pasukan BBP Segamat sejak 1956 kerana pertama kali menangkap reptilia buaya di daerah Segamat,” katanya.
Operasi ditamatkan pada pukul 7.40 pagi. – K! ONLINE