PETALING JAYA – Perkongsian terbaharu Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah di akaun Instagramnya hari ini membuatkan ramai peminat wanita patah hati.
Dalam hantaran itu, Putera Mateen berkongsi sekeping foto bersama bakal isterinya, Yang Mulia Dayang Anisha Rosnah Adam berserta ucapan pendek di ruangan kapsyen sempena Tahun Baharu 2024.
Menurut laporan media sebelum ini, Putera Mateen bakal bernikah bersama gadis pilihan hatinya dalam satu majlis perkahwinan diraja bermula pada 7 Januari hingga 16 Januari ini.
Istiadat Perkahwinan itu bakal berlangsung selama lapan hari dimulakan dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada 7 Januari diikuti Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga pada keesokan harinya.
Meninjau ke ruangan komen, ramai wanita menyifatkan penyatuan dua hati tersebut sebagai peristiwa paling menyedihkan pada 2023.
“Anak-anakku, inilah bakal ayahmu yang tidak boleh aku kecapi,” kata Irma.
“Selamat patah hati di penghujung tahun 2023 semua. Putera Mateen sudah rasmi mempunyai suri hati dalam hidupnya. Tahniah saya ucapkan,” kata Richard.
“Inilah alasan mengapa saya masih single pada 2023,” kata Rahmadhani.
Putera Mateen dan Dayang Anisha dikatakan mula rapat pada 2019 dan hubungan mereka mula dihidu orang ramai pada tahun lepas apabila mereka sering dilihat bersama.
Difahamkan, Dayang Anisha merupakan cucu kepada penasihat khas Sultan Brunei iaitu Pehin Datuk Isa. – KOSMO! ONLINE