fbpx

22 rakyat Russia maut dalam serangan udara Ukraine

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba memadam kebakaran akibat serangan udara di Belgorod semalam. - AFP

MOSCOW – Pegawai-pegawai Russia berikrar akan membalas dendam terhadap Ukraine susulan satu serangan udara yang menyebabkan 22 rakyatnya maut dan beratus-ratus lagi cedera di bandar Belgorod.

Akhbar New York Post melaporkan, tiga kanak-kanak adalah antara yang terkorban dalam salah satu serangan paling maut ke atas Russia sejak permulaan perangnya dengan Ukraine. 

Moscow menuduh Kiev melancarkan serangan udara menggunakan pelbagai senjata termasuk roket dan dron.

Sumber keselamatan Ukraine bagaimanapun berkata, pihaknya hanya menyasarkan infrastruktur tentera ketika melakukan serangan semalam.

Serangan itu berlaku sehari selepas tentera Ukraine menembak jatuh berpuluh-puluh peluru berpandu Russia di hampir 120 bandar dan kampung, dalam serangan yang menyebabkan 39 orang maut dan 159 cedera.

Bercakap kepada Badan Penyiaran Britain (BBC), sumber keselamatan Kiev berkata, pelancaran lebih 70 dron dan peluru berpandu ke arah Russia adalah sebagai tindak balas terhadap serangan Moscow ke atas orang awam Ukraine.

Mengenai situasi di Belgorod, mereka menyalahkan ketidakcekapan pertahanan udara Russia sebagai punca kematian orang awam. 

Dalam satu mesyuarat tergempar Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam, Russia menuduh Ukraine melakukan serangan yang disengajakan tanpa mengelak sasaran orang awam.

Kenyataan itu disangkal sekutu-sekutu Ukraine dengan utusan Perancis berkata, Kiev mempertahankan dirinya di bawah undang-undang PBB, manakala Amerika Syarikat dan Britain menuduh Presiden Vladimir Putin bertanggungjawab kerana memulakan konflik. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI