PETALING JAYA – Bagi memanfaatkan perjalanan tanpa visa ke China, rakyat Malaysia disarankan melawat ke Chengdu, ibu kota wilayah Sichuan khususnya untuk merasai pengalaman bercuti selain mencari kelainan dalam sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2024.
Bagi merealisasikan misi penggalakan pelancong dalam kalangan rakyat negara ini, Kebudayaan dan Pelancongan Chengdu Malaysia telah menganjurkan program bertemakan Jom Sambut Tahun Baru Cina di Chengdu untuk mempromosikan wilayah tersebut dengan lebih meluas.
Timbalan Ketua Pengarah Biro Kebudayaan, Penyiaran TV dan Pelancongan Perbandaran Chengdu, Guo Ji berkata, Chengdu mengalu-alukan kedatangan pelancong asing ke wilayahnya kerana ia memiliki banyak tarikan yang menarik dan unik.
Menurut beliau, ia adalah bandar raya yang ceria dan mesra dengan kecantikan Gunung Salji Skyline yang kaya dengan sejarah tersendirinya.
“Dengan panggilan mesra pelancong, ‘Land of Abundance’, kami mengalu- alukan rakyat Malaysia untuk melawat alam semulajadi Chengdu yang unik dan penuh dengan keajaiban, popular dengan mercu tanda yang terkenal, warisan budaya yang meriah dan paling menarik ia ada panda gergasi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan bersempena majlis pelancaran promosi Jom Sambut Tahun Baru Cina di Chengdu di sini baru-baru ini.
Program tersebut telah dihadiri oleh Tourism Selangor, Persatuan Pelancongan Cina Malaysia, Persatuan Pelancongan Domestik Malaysia, Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia, agensi pelancongan tempatan seperti Apple Vacation, Parlo Tours, Horizon Holidays dan Impact Travel Tours.
Selain itu dalam majlis tersebut, Pengurus Jabatan Perindustrian Selangor, Chua Yee Ling berkata, seiring dengan sambutan Malaysia yang akan meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara China dan Malaysia tahun 2024, kami berharap, usaha ini akan dapat mengeratkan lagi hubungan dengan China.
“Dalam masa yang sama, kami juga menantikan kedatangan pelancong dari China termasuk Chengdu ke Selangor,” ujarnya.
Terdapat beberapa promosi lawatan ke Chengdu yang telah disusun atur mengikut minat dan kegemaran pelancong melalui lima tema iaitu keseronokan salji yang terbahagi kepada aktiviti mendaki Gunung Salji Xiling, Gunung Wawu atau Lembah Shenpu.
Tema lain adalah lawatan panda di Pangkalan Panda, Panda Lembah; melawat ke tapak bersejarah (Dujiangyan di Gunung Qingcheng, Muzium Jinsha, Kuil Wuhou, kotej jerami Du Fu, Muzium Sanxingdui, tokong Sansu, Ukiran Batu Anyue) serta menikmati hidangan istimewa selain menyambut Perayaan Tahun Baru Cina (Pameran Tokong Chengdu, Kampung Lukisan sempena tahun baru di Mianzhu).
Selain itu , tujuh perayaan berkaitan salji pula adalah Festival Ais dan Salji Selatan, Zhongding Musim Ais dan Salji Kuil;, Karnival Ais dan Salji Wawushan.
Tiga acara lain adalah bertemakan bunga iaitu Pameran Seni Bunga Plum Blossom Du Fu dan Pesta Bunga Sakura Deyang Zhongjiang dan pelbagai aktiviti. -KOSMO! ONLINE