SEREMBAN – Sebahagian penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lobak, di sini dikesan tidak segan menduduki kediaman tersebut secara percuma sehingga ada yang mempunyai tunggakan sewa lebih RM30,000.
Difahamkan, tunggakan keseluruhan bagi 131 unit di PPR tersebut kini berjumlah RM1 juta sejak lebih 20 tahun lalu.
Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Chew Seh Yong, terdapat penyewa yang mempunyai tunggakan lebih RM30,000 sedangkan sewa di penempatan berkenaan hanya RM100 sebulan, manakala RM50 lagi untuk yuran penyelenggaraan.
“Ini bermakna dia (penyewa) memang tidak membayar sewa sejak 20 tahun lalu. Lelaki yang berusia 49 tahun ini dari dulu bekerja sebagai tukang sapu, namun kini tidak mampu bekerja lagi kerana lumpuh.
“Sekarang dia tinggal bersama anaknya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di PPR Lobak, hari ini.
Ujar Seh Yong, bagi mengatasi masalah tersebut, pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) melakukan proses pemutihan dengan mengeluarkan perjanjian baharu kepada penyewa.
“Pihak MBS memberi amaran akan mengunci rumah daripada penyewa yang gagal melunaskan tunggakan sewa dan seterusnya menamatkan kontrak mereka.
“Bagaimanapun, kami faham akan kesusahan yang dialami mereka. Penyewa boleh membayar tunggakan secara ansuran. Tidak kisah jumlahnya, asalkan ada kemahuan untuk membayar sewa tersebut,” katanya. -KOSMO! ONLINE