fbpx

Berilah elaun yang setimpal pada imam masjid, mereka juga perlu makan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Luahan seorang imam masjid yang tular baru-baru ini mendapat perhatian netizen setelah dia mendedahkan bahawa elaun yang diterima olehnya untuk memimpin solat lima waktu secara berjemaah setiap hari hanyalah sekitar tiga angka.

Menurutnya, imam bekerja berhempas pulas untuk menuruti kehendak kariah. Bagaimanapun, keperluan imam dipandang enteng walaupun kutipan bulanan masjid mencecah ribuan ringgit.

Seorang guru, Mohd. Fadli Salleh atau lebih dikenali sebagai Cikgu Fadli menyuarakan kekecewaannya di laman Facebook mengenai elaun imam yang dilihat terlalu rendah dan tidak relevan lagi pada zaman sekarang.

“Hanya pihak pengurusan masjid yang boleh tentukan hendak guna ke mana duit tersebut. Dan biasanya, golongan yang pegang pengurusan masjid ni golongan berusia yang sukar nak terima idea anak muda.

“Lebih menyedihkan, elaun imam rupanya tak sampai RM1,000. Allah, mengapa bayar murah sangat pada orang jaga agama? Tahun 2024, RM1,000 boleh buat apa? Bayar rumah dan eletrik, habislah. Bil lain? Makan minum? Minyak kereta? Keperluan lain bagaimana?,” katanya.

Tambah Mohd. Fadli, masih terlalu ramai orang yang meminta mereka yang menjalankan tugas agama ini supaya ikhlas dan berniat untuk mendapat pahala atas setiap kerja yang dijalankan.

“Kalau imam, ustaz letak bayaran, kata tunggang agama. Bila diam dan reda berapa diberi, dianiaya golongan ini bagai mereka tak berhak apapun. Diberi nilai yang tak cukup dan tak sepadan.

“Bila ada satu dua imam atau ustaz berbunyi, terus kena cop tak ikhlas. Kena cop tunggang agama. Kena cop kejar duit dan mata duitan. Mentaliti ini kena ubah,” katanya.

Menurutnya, berilah saguhati dan sumbangan yang lebih pada imam, ustaz serta penceramah yang sudi mengajar ilmu akhirat dan memimpin kita ke syurga Allah.

“Program (bukan yang masjid anjurkan) kalau panggil artis buat nyanyian, konsert, sanggup bayar sampai puluhan ribu, padahal mereka datang hanya beberapa jam bawa hiburan. Imam yang lima waktu sehari ke masjid pimpin orang ramai, urusan tahlil, zikir, kematian semua, cuma dibayar bawah seribu sebulan,” ulasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI