NEW DELHI – Sebuah pesawat yang diangkut menggunakan treler tersangkut di bawah jejambat di Motihari, Bihar semalam, lapor portal berita Mint.
Ketika kejadian, pesawat yang tidak lagi digunakan lagi itu dibawa menuju ke negeri Assam dari Mumbai, India.
“Pemandu treler tersilap menilai ketinggian jejambat dan akibatnya, ia tersangkut,” kata pegawai polis tempatan, Manoj Kumar kepada akhbar Hindustan Times.
Walaupun kejadian itu menyebabkan kesesakan lalu lintas yang panjang, treler dan muatannya selamat dibawa keluar dan ia meneruskan perjalanan ke Assam, demikian menurut laporan itu.
Menurut beberapa saksi, pesawat itu tersepit di bawah jambatan selama lebih sejam.
Treler yang membawa pesawat itu akhirnya dapat melepasi jejambat selepas tayarnya dikempiskan. – AGENSI