PETALING JAYA – Kelengkapan persekolahan anak-anak termasuk buku-buku dan pakaian seragam yang rosak teruk akibat banjir gelombang ketiga di Kelantan dan Terengganu baru-baru ini meresahkan golongan ibu bapa memandangkan sesi persekolahan akan dibuka Selasa ini.
Bagi mereka, untuk membeli baharu kelengkapan berkenaan buat masa ini agak sukar disebabkan faktor kewangan, selain ada keperluan lain yang lebih mendesak yang harus diutamakan.
Di Pasir Mas, Kelantan, seorang ibu, Tahirah Mat Ali, 37, berkata, pakaian dan buku sekolah tiga orang anaknya berusia antara lapan hingga 14 tahun tenggelam semasa banjir yang melanda rumahnya di Kampung Meranti baru-baru ini.
Katanya, dia tidak sempat mengemas dan menyimpan semua kelengkapan persekolahan anak-anaknya di tempat selamat kerana air naik dengan cepat di kampung tersebut.
“Saya bersama 10 ahli keluarga tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana suami menyediakan satu tempat tinggi untuk berteduh semasa banjir.
“Namun, saya sedih semua persiapan sekolah anak-anak termasuk pakaian, kasut dan buku teks ditenggelami banjir,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurutnya, segala kelengkapan sekolah itu perlu dibasuh dan dibersihkan semula kerana dia dan suami tidak mampu untuk membeli barangan baharu buat anak-anak pada masa ini.
Dalam pada itu, di Dungun, Terengganu, seorang suri rumah sedih dan buntu mengenangkan semua kelengkapan sekolah dua anaknya musnah selepas rumahnya di Felda Ketengah Jaya ditenggelami banjir.
Marina Husain, 36, berkata, buku teks dan rampaian anak-anaknya yang berusia lapan dan 10 tahun rosak teruk akibat dihanyutkan air pada 24 Disember lalu.
“Pakaian seragam sekolah dan tudung dua anak perempuannya juga bersalut lumpur dan selut.
“Untuk menggantikannya dalam tempoh terdekat agak sukar disebabkan faktor kewangan, memandangkan banyak lagi kelengkapan rumah lebih penting untuk diganti seperti tilam dan bantal yang rosak,” ujarnya.