AKSI Liga Perdana Inggeris (EPL) bakal kehilangan serinya apabila 55 pemain daripada 18 pasukan bakal mewakili negara masing-masing untuk menghadapi saingan Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) dan Piala Asia bermula 12 Januari hingga 11 Februari nanti.
Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) sebelum ini pernah memberikan amaran bahawa kelab tidak boleh menghalang pemainnya daripada tugasan antarabangsa seperti AFCON di Ivory Coast dan Piala Asia di Qatar bulan depan.
Pendahulu EPL, Liverpool pastinya bakal merasai ketiadaan bintangnya, Mohamed Salah yang mungkin terlepas sekurang-kurangnya lapan perlawanan sepanjang tempoh tersebut kerana Mesir berpotensi layak sehingga ke pentas final AFCON.
Antara bintang elit lain yang bakal ‘meninggalkan’ EPL buat seketika seperti kapten Tottenham Hotspur, Son Heung-min bersama Korea Selatan ke Piala Asia, penjaga gol Manchester United, Andre Onana (Cameroon) dan perancang West Ham United, Mohammed Kudus (Ghana).
Kelab bawahan seperti Nottingham Forest turut menerima tempias apabila ‘tempang’ tanpa lapan pemain utama dalam usaha mereka mengelak daripada terjerumus ke zon penyingkiran liga selepas ini.