PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) AirAsia, Riad Asmat mengumumkan peletakan jawatannya hari ini.
Pengumuman itu dibuat menerusi hantaran pada Instagram yang mana beliau menyifatkan perjalanannya bersama AirAsia adalah suatu yang disukai sekali gus bukan penyesalan.
“Kepada AllStars yang hebat, terima kasih atas setiap sokongan yang tidak putus-putus sepanjang masa sama ada senang atau susah apabila anda membenarkan saya menjadi ketua di sini.
“Saya selamanya sentiasa bersyukur dan tidak akan melupakannya selagi saya masih hidup. Budi dikenang dan tidak akan dilupa, ribuan terima kasih saya ucapkan sekali lagi,” katanya.
Riad berkata, beliau berbesar hati diberi peluang untuk bekerja dengan semua dan akan terus sentiasa mendoakan kejayaan, keselamatan dan kesihatan AllStars yang menjadi kebanggaan organisasi.
“Saya akan tetap doakan hanya yang terbaik untuk semua di sini. Semoga sentiasa selamat, sihat dan berjaya selalu,” katanya.
Mengulas lanjut, Riad memberitahu akan berehat sebentar dan berkemungkinan akan beralih memainkan peranan penasihat kepada organisasi tersebut.
“Sila jaga diri anda dan sentiasa dalam keadaan selamat. Saya tidak begitu percaya kepada ‘selamat tinggal’ kerana ia lebih kepada ‘jumpa anda’.
“Selamat tinggal buat masa sekarang, jumpa lagi nanti dan jaga diri selalu. Kalau apa-apa nanti DM tepi ya,” katanya.
Riad sebelum ini dilantik sebagai CEO AirAsia pada 10 Januari 2018. – KOSMO! ONLINE