PASIR MAS – Sebanyak 15 kes jangkitan Covid-19 melibatkan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan dilaporkan sejak bulan lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, jangkitan kes itu melibatkan mangsa di dua daerah iaitu Pasir Mas dengan enam kes manakala Tanah Merah sembilan kes.
Menurutnya, bagaimanapun, kes Covid-19 yang berlaku dalam kalangan mangsa banjir di PPS di Kelantan masih terkawal.
“Kes-kes yang dikesan berada pada tahap satu dan dua. Keadaan bagi semua kes yang dilaporkan masih terkawan dan hanya satu kes mencapai tahap tiga, namun pesakit itu sudah sembuh sepenuhnya.
“Bagaimanapun, Kementerian Kesihatan (KKM) tetap perlu mengambil langkah berjaga-jaga khususnya melibatkan kumpulan rentan.
“Insya-Allah menjelang Januari nanti kita akan dapat melandaikan kes jangkitan Covid-19 dalam kalangan mangsa banjir di PPS seluruh negeri ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyantuni mangsa banjir yang berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Baroh Pial, di sini hari ini.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor memberitahu, KKM akan menjadikan sistem pengurusan banjir yang dikendalikan oleh JKNK sebagai penanda aras kepada persediaan menghadapi banjir di negeri-negeri lain. – KOSMO! ONLINE