fbpx

ALGORITMA 2023: Hiruk-pikuk dunia hiburan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BERMACAM onar, pergaduhan, skandal, pencapaian dan kritikan berselisih ketika melibatkan anak-anak seni dunia hiburan tanah air dapat disaksikan sepanjang 2023.

PASTINYA 2023 boleh didefinisikan sebagai tahun roller coaster buat semua individu apabila berdepan pelbagai kisah suka duka dalam melayari kehidupan.Tidak terkecuali buat selebriti tanah air yang tentu saja melalui pengembaraan lebih mencabar apatah lagi setiap inci kehidupan menjadi sorotan.

Anak Ipoh, Michelle Yeoh menang Oscar

Seniwati kelahiran Ipoh, Perak Tan Sri Michelle Yeoh menjadi anak Malaysia pertama menggenggam trofi berprestij dunia, Oscar pada Academy Awards Ke-95. Biarpun mencipta nama di luar negara, kejayaannya menang trofi Pelakon Wanita Terbaik menerusi filem Everything Everywhere All At Once membakar semangat anak seni tempatan mencipta kejayaan di peringkat global. Dalam ucapannya ketika menerima trofi, beliau juga menyebut nama Malaysia sekali gus membuat negara kelahirannya trending satu dunia. 

Trend artis tudung terbang

ANAK Allahyarham Azmil Mustapha, pelakon Alya Iman mengejutkan ramai dengan penampilan tidak bertudung pada 1 Syawal lalu dengan alasan mahu menjadi diri sendiri. Selain Alya, penyanyi Masya Masyitah juga tidak lagi berhijab dan menyerlah dengan gaya Barbie. 

Selepas tiga tahun berhijab, pelakon Mawar Rashid  juga tidak bertudung disusuli pengumuman perceraian dengan suaminya, Raf Yaakob.

Tanpa penjelasan, pelakon Nelydia Senrose juga tidak lagi bertudung selepas menukar gambar profil Instagram menampakkan rambutnya. Antara artis yang turut menjadi sorotan ramai selepas tidak lagi bertudung adalah pelakon Tash Yong, Intan Sarafina dan Fathia Latiff. 

Bella Astillah vs Sophia Albarakbah

NAMA aktres Sophia Albarakbah panas hampir sepanjang tahun ini apabila isteri kepada aktor Aliff Aziz yang juga teman gandingan dalam sebuah drama bersiri menuduhnya  sebagai orang ketiga atau penyondol dalam perkahwinan mereka. Penyanyi dan pelakon itu mendedahkan suaminya diganggu ketika menjalani penggambaran drama itu, seterusnya membuatkan Aliff enggan lagi berlakon dengan Sophia demi kerukunan rumah tangga.

Konflik keluarga Shila Amzah

PERGOLAKAN dalaman keluarga penyanyi Shila Amzah tercetus selepas adik bongsunya Syada memberi bayangan bakal di halau keluar dari kediaman keluarga sekali gus mendedahkan beberapa isu lain yang selama ini disimpan kemas. Akhirnya, persengketaan itu menyelak perasaan dipendam lama isteri kepada pempengaruh, Ubai, apabila mengakui menjadi penanggung keluarga termasuk adik-adiknya yang sudah dewasa selepas Syada serta seorang lagi adik lelakinya, Amir Syafiq kecewa dia mahu menjual rumah pusaka.

Persengketaan terbuka selain tindakannya yang disifatkan adiknya itu biadab terhadap ibu mereka, Fauziah Sarman membuatkan isu keluarga mereka diperkatakan ramai selain masih belum bertemu kesudahan.

Bell Ngasri Paling Popular 

FENOMENA Barkoba ternyata membawa tuah buat pelakon Bell Ngasri apabila dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular ke-35 pada Julai lalu.

Anugerah tersebut juga diibaratkan sebagai kemenangan paling direstui dan dinanti ramai apabila rata-rata menganggap trofi itu layak buatnya selepas 37 tahun bergelar anak seni.

Syafiq , Mimi tak jadi nikah

SIAPA sangka pelamin angan aktres Mimi Lana dengan tunangnya, Syafiq Kyle musnah majlis pernikahan mereka dibatalkan hanya tinggal seminggu sahaja sebelum mereka disatukan pada Ogos lalu.Begitupun, mereka bertindak mengunci mulut, malah ketika itu Mimi ‘terbang’ ke London membawa lara, namun sejak kebelakangan ini pasangan terbabit dilihat kembali mesra.

Nad Zainal vs kawan-kawan baik

TIADA angin, tiba-tiba hubungan akrab pelakon Nad Zainal dengan teman baiknya termasuk Nabila Huda, Sherry Alhadad, Sharifah Sakinah dan Marsha Milan berada di zon genting selepas masing-masing meluahkan perasaan dalam laman sosial. Aktres yang dilihat tidak mengundang semua sahabatnya itu pada hari pernikahan dengan aktor Ungku Ismail pada 23 Januari lalu pernah berdepan sakit kronik hingga rakan lain membuka tabung disebabkan kos rawatan tinggi.

Demam Projek: High Council 

SEJAK ditayangkan pada Mac lalu, drama Projek: High Council menjadi kegilaan ramai terutama dalam kalangan peminat wanita yang menyukai barisan pelakonnya iaitu  Nadhir Nasar, Mierul Aiman dan Amir Ahnaf.

Selain pelakon, drama arahan Anwari Ashraf ini mencetuskan fenomena tersendiri dalam sekelip mata apabila berjaya meninggalkan impak terhadap emosi penonton. 

Kegilaan penonton dapat dilihat ketika sesi promosi dan perjumpaan peminat apabila setiap lokasi persinggahan mereka padat dengan kehadiran orang ramai sehingga disamakan dengan artis Korea. 

Konsert Coldplay benamkan rekod Siti Nurhaliza

KONSERT Coldplay: Music of The Spheres World Tour mencatat sejarah selepas menjadi acara di Stadium Nasional Bukit Jalil dengan jumlah pengunjung tertinggi  75,000 penonton, sekali gus membenamkan rekod biduanita, Datuk Seri Siti Nurhaliza bagi konsert Fantasia Tour pada 2004. Konsert A.R Rahman dan Blackpink yang juga berlangsung dalam tahun ini menduduki tempat ketiga dan keempat dengan 67,000 serta 62,000 pengunjung.

Neelofa ajak Fazira tamatkan perang dingin

HUBUNGAN dingin antara dua bintang jelita yang dikatakan berlanjutan lebih 11 tahun antara Noor Neelofa dan Nur Fazura hampir menemui damai apabila isteri kepada PU Haris itu sedia berdamai.

Bagaimanapun, menjawab isu tersebut, Fazura menepis dakwaan pihak tertentu selain mendakwa dia berhak menentukan siapa yang sesuai berkawan dengannya dan pada masa sama menyatakan  tidak berkawan bukan bermakna bermusuhan.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI