PETALING JAYA – Pelakon, Amyra Rosli mengakui dia pernah melalui fasa ragu-ragu mengenai perjalanan karier seninya selepas beberapa bulan mengambil keputusan bertudung pada penghujung Oktober tahun lalu.
Pelakon drama Nur itu berkata, selepas bernekad untuk mengenakan hijab, ada waktu-waktu tertentu dia tertanya-tanya mengenai rezekinya dalam dunia lakonan yang diceburinya sejak tahun 2011.
“Selepas mengambil keputusan untuk memakai tudung, saya pernah terfikir tentang rezeki dalam bidang lakonan.
“Tambahan pula saya telah berkahwin dan bergelar ibu kepada dua cahaya mata,” kata isteri pelakon Amar Baharin itu.
Amyra ketika ditemui pada sidang akhbar pengumumam kolaborasi antara Primeworks Studio dengan WeTV Malaysia berkata, rezekinya dalam industri seni rupanmya masih lagi memihak kepadanya walaupun dia sudah berhijrah.
“Alhamdulillah masih lagi ada rezeki dalam bidang lakonan dan saya masih lagi relevan untuk memegang watak sebagai heroin walaupun selepas berhijab,” katanya.
Pelakon drama Sang Pewaris yang sedang ditayangkan melalui Slot Lestary di TV3 itu mengakui, dia berasa teruja untuk kembali berlakon selepas melahirkan anak keduanya Februari lalu.
Terdahulu, Amyra membuat keputusan untuk bertudung selepas pulang daripada mengerjakan umrah bersama suaminya pada tahun lepas.-K! ONLINE