PETALING JAYA – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menyelesaikan segera isu melibatkan tekanan air dan pembentungan di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur yang baharu sebelum semua peniaga dibenarkan beroperasi di kawasan berkenaan.
Ini kerana kata Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, pihak kontraktor sedang merancang untuk mengatur sebahagian peniaga yang sudah boleh berpindah.
Bagaimanapun katanya, kawasan berkenaan masih bergantung kepada bekalan air yang menggunakan tangki dan kontraktor membuat inisiatif sendiri untuk membekalkan air.
“DBKL perlu melihat semula paip di Jalan Raja Alang dan menyelesaikannya kerana tekanan air tidak cukup kuat jadi air tidak sampai ke kawasan pasar itu.
“Selain itu, masalah pembetungan yang tidak diurus dengan baik juga boleh memberikan ketidakselesaan kepada pengunjung pasar,”tulisnya di laman Facebook.
Terdahulu, menerusi hantaran itu, beliau telah membuat lawatan ke tempat pembangunan semula Pasar Raja Bot atau dikenali sebagai Pasar Chow Kit bagi mendapatkan perkembangan terkini serta taklimat daripada kontraktor mengenai kemajuan projek pembangunan itu.
Mengulas lanjut, Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, beliau akan terus memantau dengan lebih dekat dari semasa ke semasa kerana projek itu sudah tertangguh selama 10 tahun.
Malah katanya, DBKL terpaksa menukar lima kontraktor yang berlainan sehingga menyebabkan peniaga-peniaga kecil di sekitar pasar dan sebahagian telah gulung tikar kerana kehilangan pelanggan.-KOSMO! ONLINE