fbpx

Tekong seludup benih kerang diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA Maritim Malaysia Kuala Perlis memeriksa bot dan tekong disyaki terlibat menyeludup benih kerang di muara Sungai Perlis, Kuala Perlia awal pagi tadi.

KUALA PERLIS – Seorang tekong yang cuba menyeludup benih kerang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Perlis manakala bot dan peralatan nelayannya bernilai RM60,000 dirampas di sini awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada pukul sekitar 12.30 pagi itu, lelaki berusia 48 tahun itu ditahan bersama benih kerang dan bot fiber pada kedudukan 0.95 batu nautika dari timur laut muara Sungai Perlis di sini.

Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, bot ronda Maritim Malaysia tiba di lokasi tangkapan ketika sedang melakukan rondaan Op Aman, Op Tiris 2.0 dan Op Khas Mardof di sekitar kawasan perairan tersebut sebaik menerima maklumat mengenai aktiviti itu.

“Sebaik tiba di lokasi, pasukan penguatkuasa menahan sebuah bot fiber tanpa nombor pendaftaran dan melakukan pemeriksaan rapi terhadap suspek dan bot dikemudikannya.

“Hasil  pemeriksaan mendapati, bot terbabit berpengkalan di Kuala Perlis itu melakukan aktiviti menyeludup benih kerang secara haram dan kita menahan seorang warga tempatan,”katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Kosmo! difahamkan bahawa bot tersebut dikemudikan oleh seorang tekong dan tanpa awak-awak bersamanya manakala benih kerang itu diisi dalam puluhan guni plastik berwarna putih.

Menurut Mohd. Hashim, semua tangkapan dan rampasan termasuk bot, enjin sangkut dan hasil tangkapan benih kerang yang dianggarkan bernilai hampir RM60,000 tersebut dibawa masuk ke jeti Zon Maritim Kuala Perlis dan diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI