BATU PAHAT – Kehilangan seorang wanita di Taman Soga di Batu Pahat sejak 14 Disember lalu terus menjadi misteri apabila penahanan teman lelakinya gagal merungkai kedudukannya hingga kini.
Selepas ditahan reman pada 25 Disember lalu, lelaki berusia 24 tahun yang bekerja di sebuah syarikat kurier itu dibebaskan dengan jaminan polis apabila tempoh tahanan remannya berakhir hari ini.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah mengakui lelaki berkenaan dibebaskan dengan jaminan polis namun siasatan akan terus dijalankan.
Katanya, pembebasan ini adalah perkara biasa dalam siasatan dan pihaknya tidak akan berhenti untuk mencari apakah punca sebenarnya yang berlaku kepada Mira Sharmila Samsusah, 34, itu.
“Selain soal siasat ke atas individu yang disyaki terlibat dengan kehilangan Mira atau lebih dikenali sebagai Bella itu, kami juga menggunakan kaedah-kaedah lain untuk mencari puncanya.
“Siasatan akan terus berjalan untuk mencari punca sebenar kehilangan ibu tunggal beranak dua itu,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Ismail lagi, lelaki berkenaan dibebaskan lewat petang semalam selepas siasatan terhadapnya sebagai orang terakhir bersama Bella selesai.
Sementara itu, keluarga Bella terus mengharapkan anak bongsu daripada dua beradik itu berjaya ditemui walaupun sudah memasuki hari ke 16 kehilangannya hari ini. – KOSMO! ONLINE