PIHAK berkuasa Korea Selatan menahan seorang wanita yang disyaki memeras ugut pelakon Lee Sun-kyun beberapa jam selepas bintang Parasite ditemui meninggal dunia pada 27 Disember lalu.
Suspek berusia 20-an yang dikatakan mempunyai kaitan dengan tindakan bunuh diri dilakukan mendiang sebelum itu gagal hadir di Mahkamah Daerah Incheon bagi semakan substantif
waran tangkap.
Semakan substantif waran tangkap adalah proses di mana individu yang akan ditangkap polis diberi peluang untuk mengemukakan kes mereka di hadapan hakim.
Individu terbabit berdepan dakwaan memeras ugut Sun-kyun sebanyak 50 juta won atau RM179,000, malah mendiang juga dikatakan telah membayar 350 juta won (RM1.6 juta) kepada suspek dan rakan subahatnya iaitu pengurus sebuah bar mewah di Gangnam.
Ugutan dipercayai menjadi punca aktor berusia 48 tahun itu mengambil nyawa sendiri berikutan penemuan nota di sisi mayatnya dalam kereta di sebuah taman di Seoul.
Pada masa sama, orang ramai menyalahkan polis serta beberapa pihak lain yang didakwa berterusan mengganggu emosi pelakon itu sejak ditahan pada Oktober penyalahgunaan dadah.
Menerusi soal siasat, Sun-kyun mendakwa diperangkap mengambil barang terlarang yang tidak diketahui isi kandungannya, malah ujian saringan dadah sebanyak dua kali mengesahkan dirinya ‘bersih’.
Sun-kyun juga menghabiskan masa selama 19 jam memberi keterangan berhubung ugutan diterima dan menerusi peguamnya, dia mahu melalui ujian pengesanan pembohongan sebagai cara membuktikan dirinya bercakap benar.
Bapa kepada dua cahaya mata itu lebih dahulu memberikan keterangan berhubung dakwaan pengambilan dadah pada 28 Oktober dan 4 November yang meraih perhatian ramai apabila segerombolan wakil media menunggu di hadapan balai polis.
Susulan kes tersebut, sumber mendakwa nama Sun-Kyun digugurkan dalam beberapa projek mega termasuk filem dan iklan komersial membabitkan anggaran nilai kontrak sekitar 10 billion won atau RM35.8 juta.
Sementara itu, persemadian mendiang yang diadakan secara tertutup di Seoul National University Hospital semalam yang dihadiri keluarga serta selebriti berlangsung dalam suasana pilu.
Turut kelihatan adalah isterinya yang juga aktres, Jeon Hye-jin, bersama dua anak mereka selain pengarah Parasite, Bong Joon-ho dan barisan pelakon filem berkenaan, termasuk Park So-dam dan Park Myung-hoon.
Bintang lain yang memberi penghormatan terakhir adalah Jung Woo-sung, Lee Jung-jae, Gong Hyo-jin, Ryu Seung-ryong serta Lee Sung-min.
Di lokasi pengkebumian yang tidak jauh dari hospital iaitu tempat bermulanya perarakan membawa mayat, jambangan bunga dan nota penghargaan dari peminat memenuhi sudut tertentu.
Pada hari persemadian Sun-Kyun, seluruh penggiat industri berkabung bahkan banyak majlis hiburan ditunda sebagai menghormati pemergiannya. – KOSMO! ONLINE