KUALA SELANGOR – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mempertingkatkan pengawasan terhadap mereka yang merokok di premis makanan termasuk restoran.
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, ini susulan larangan merokok di lokaliti berkenaan masih dikuatkuasakan dan individu yang merokok dinasihatkan mengamalkan penguatkuasaan kendiri.
Jelas beliau, pihaknya bukan mahu menghukum namun sebarang tingkah laku seseorang itu perlu bermula dengan kesedaran.
“Rokok itu boleh namun harus memerhatikan kesesuaian keadaan sekeliling terutama faktor jarak tiga meter dari premis dan penguatkuasaan larangan itu tetap sama dan kita akan pertingkatkan pengawasan berkenaan,” katanya ketika ditemui selepas menziarah pesakit warga emas di Ijok di sini, petang semalam.
Tindakan penguatkuasaan undang-undang terhadap perokok yang ingkar akan larangan merokok di premis makanan dilaksanakan bermula 1 Januari 2020 dan jika disabit bersalah, pesalah boleh dikompaun RM250. – KOSMO! ONLINE