PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan bahawa beliau mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah semalam.
Titah berkenaan mengingatkan agar mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.
Menurut Anwar, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).
Katanya, ia bagi meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab.
Terdahulu, Sultan Sharafuddin bertitah, bahawa MKI yang dipengerusikan oleh baginda memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.
Tegas baginda, MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya yang melibatkan undang-undang dan agama Islam.
“Justeru, beta mengharapkan agar orang-orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal Agama Islam.
“Malah, penganut agama-agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia,” titah baginda.
Baginda menitahkan demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam. – KOSMO! ONLINE