KUALA LUMPUR – Puluhan warga asing bertempiaran lari bagi mengelak diri daripada ditahan dalam serbuan ke atas Apartmen Abdullah Hukum , di sini, awal pagi tadi.
Seorang lelaki dipercayai warga Bangladesh bertindak nekad terjun dari tingkat dua apartmen tersebut bagi menyelamatkan diri dari ditahan penguat kuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur, dalam operasi pukul 1.15 pagi itu.
Bagaimanapun, lelaki tersebut didapati tidak mengalami sebarang kecederaan dan dipercayai melarikan diri kerana tinggal lebih masa.
Wartawan Kosmo! yang turut menyertai serbuan operasi itu mendapati apartmen 14 tingkat tersebut menjadi ‘sarang’ pilihan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) kerana berhampiran dengan pusat beli belah ternama yang mana tempat mereka bekerja di bahagian perkhidmatan.
Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Syamsul Badrin Mohshin berkata, kira-kira 1,000 warga asing diperiksa dan 567 daripadanya berusia setahun hingga 54 tahun ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen.
Katanya, operasi yang dijalankan 85 anggota dan pegawai lain-lain pangkat itu hasil risikan selama satu minggu dan aduan penduduk setempat tentang kebanjiran warga asing.
“Mereka yang ditahan membabitkan individu yang warga Bangladesh, Myanmar, Nepal, Indonesia,India dan Filipina.
“Antara kesalahan dikesan dilakukan PATI dalam operasi ini adalah tiada dokumen pengenalan diri, salah guna pas lawatan sosial dan tinggal lebih masa,” kata beliau ketika sidang akhbar di lokasi serbuan, awal pagi tadi.
Mengulas lanjut, Syamsul berkats, terdapat premis yang menempatkan lebih daripada lapan orang warga asing serumah bermula dengan harga sewaan RM1,000 sebulan.
Justeru itu, beliau menegaskan, pemilik warga tempatan yang menyewa kediaman kepada PATI akan dikenakan tindakan kerana melindungi kumpulan berkenaan.
“Warga asing yang ditahan ada yang berkeluarga dan sebahagian mereka duduk di kediaman tersebut dibayar oleh majikan, bagi yang kerja di syarikat lain dikesan membayar sewa secara persendirian,” katanya.
Mengulas mengenai cabaran dalam operasi kali ini, Syamsul memaklumkan terdapat warga asing yang melarikan diri dan bersembunyi namun hasil kerjasama penduduk, cubaan meloloskan diri berjaya dipatahkan.
“Ada juga yang enggan buka pintu (sewaktu serbuan), kita cuba sebaik mungkin (berunding). Bila kita pasti ada warga asing, (pintu) rumah itu kita akan pecah kalau mereka degil dan tidak mahu beri kerjasama,” katanya.
Susulan 567 tangkapan warga asing itu, Syamsul memaklumkan kesemua mereka akan dibawa ke Depoh Imigresen Bukit Jalil untuk pemeriksaan lanjut. – KOSMO! ONLINE