KUALA LUMPUR – Orang ramai yang berhasrat untuk memohon skim i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) disaran membuat belanjawan keluarga dan keperluan diri terlebih dahulu bagi memastikan simpanan dikeluarkan itu mampu memberi manfaat untuk jangka panjang.
Pensyarah Kanan Putra Business School, Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, langkah awal yang perlu dilakukan adalah memastikan jumlah komitmen bulanan dan wang tersebut sepatutnya digunakan untuk memenuhi komitmen sekiranya pendapatan sedia ada tidak mencukupi.
Sebagai contoh, jelas beliau, sekiranya ada kekurangan berjumlah RM200 sebulan maka adalah wajar bagi pencarum memperuntukkan sejumlah RM2,400 daripada jumlah pengeluaran mereka untuk memenuhi keperluan selama 12 bulan.
“Jika ada lebihan, wang itu sesuai digunakan untuk membayar hutang berkadar faedah tinggi, seperti hutang kad kredit.
“Wang itu juga boleh digunakan untuk menjana pendapatan tambahan, sama ada dibuat modal berniaga, membeli motosikal bagi tujuan bekerja mahupun melabur dalam instrumen berisiko rendah dan dijamin kerajaan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz mengumumkan skim i-Sinar, yang melibatkan pengeluaran daripada Akaun 1 KWSP dan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas akibat pandemik Covid-19.
Skim tersebut dijangka memanfaatkan lapan juta pencarum.
Tambah Ahmed Razman, dengan peluasan akses kepada i-Sinar, wujud satu lagi kumpulan yang layak memanfaatkan kemudahan tersebut iaitu mereka yang kekurangan pendapatan, namun masih memiliki pendapatan boleh guna setiap bulan.
Menurutnya, bagi kumpulan ini terdapat dua pilihan utama iaitu menambah kembali pendapatan terjejas atau membelanjakannya atas sebab peribadi bagi menambah baik kualiti kehidupan mereka.
“Untuk sebab peribadi, wang boleh digunakan untuk ubah suai rumah dan melancong, apa yang penting mereka masih memiliki pendapatan boleh guna.
“Namun mereka perlu memikirkan soal kelangsungan pendapatan sama ada ia boleh terus bertahan dalam keadaan ekonomi semasa,” katanya.