fbpx

K2

Corak unik tarik kaki pancing buru bujuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IKAN bujuk memiliki corak unik pada badannya.

BAGI kebanyakan kaki pancing, toman atau haruan mungkin merupakan antara spesies ikan yang sudah biasa mereka buru.

Ini kerana, kedua-dua spesies tersebut terutamanya toman merupakan ikan popular yang kerap menjadi buruan disebabkan sifat agresifnya ketika membaham umpan.

Selain kedua-dua spesies tersebut yang tergolong dalam kategori ‘snakehead’, sebenarnya terdapat satu lagi spesies daripada kategori sama.

Ikan tersebut adalah bujuk yang sering diburu oleh pemancing di negara ini.

Secara umumnya, bujuk atau dikenali sebagai ‘forest snake head’ mempunyai bentuk fizikal yang sama seperti toman dan haruan.

Ia mempunyai sisik dan bentuk kepala seperti ular. Namun, bujuk mempunyai keunikannya yang tersendiri iaitu memiliki badan berwarna gelap dan bercorak.

Disebabkan itu, bujuk sering dijadikan ikan hiasan oleh para penggemarnya.

Atas dasar itulah, bujuk menjadi antara spesies ikan yang kerap diburu seorang kaki pancing, Mohamad Sazuan Mohd. Fadil.

Pemuda berusia 32 tahun itu kerap menjadikan kawasan parit, sungai dan paya sekitar Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor sebagai lokasi memburu ikan berkenaan.

Bercerita mengenai hobinya itu, Mohamad Sazuan berkata, bujuk merupakan antara spesies yang semakin sukar dicari.

Katanya, banyak habitat ikan tersebut sudah musnah sama ada disebabkan pembangunan atau pencemaran air.

“Ikan ini sudah menjadi antara spesies yang jarang ditemui kerana tidak banyak lokasi yang menjadi habitat bujuk untuk membesar.

“Bagaimanapun, saya bersyukur kerana di sekitar Sungai Panjang ini masih terdapat beberapa ‘port’ yang boleh dikunjungi untuk memburu bujuk,” ujarnya yang bekerja sebagai pembantu makmal di sebuah sekolah di Sabak Bernam.

Ujarnya lagi, bagi memburu bujuk, terdapat beberapa teknik yang kerap digunakan agar tidak pulang dengan tangan kosong.

MOHAMAD SAZUAN bergambar bersama ikan bujuk yang berjaya dipancingnya di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor.

Jelasnya, perkara pertama adalah mengenali lokasi yang menjadi habitat bujuk seperti anak sungai, paya, parit dan tali air berarus perlahan atau hampir tidak berarus di kawasan tanah paya gambut.

Terangnya, antara habitat kesukaan bujuk adalah di kawasan berair hitam atau gelap dan mempunyai semak dan sisa-sisa kayu yang tenggelam.

“Untuk teknik pancingan, ia bergantung kepada keadaan dan situasi di lokasi tersebut.

“Kebiasaannya, saya akan menggunakan teknik ‘casting’ dengan menjadikan umpan hidup seperti katak dan anak ikan sebagai umpan.

“Jika kawasan berkenaan tidak sesuai untuk ‘casting’, barulah saya menggunakan teknik pelampung atau umpan rendam bagi menarik minat bujuk membaham umpan.

“Untuk joran pula, saya akan menggunakan set aksi sederhana kerana daya tarikan bujuk agak kuat,” katanya.

Menurut Mohamad Sazuan, bagi mengesan kehadiran bujuk di satu-satu lokasi, ia dapat dilakukan dengan melihat kepada buih yang dihasilkan oleh ikan tersebut.

Katanya, ikan bujuk akan bernafas dengan cara mengeluarkan buih-buih kecil dan bukannya dengan mengambil udara di kawasan permukaan air seperti toman dan haruan.

“Selain itu, ikan bujuk amat suka berada dalam satu koloni yang sama. Jika kita berjaya menaikkan seekor bujuk di kawasan berkenaan, pasti akan ada ikan bujuk lain di situ.

“Pernah sebelum ini, saya berjaya menaikkan lima ekor ikan bujuk di lokasi sama dalam tempoh kurang 15 minit,” katanya.

Ditanya mengenai hasil pancingan yang diperolehi, Mohamad Sazuan memberitahu, kebiasaannya ikan bujuk yang berjaya dipancing akan dibawa pulang untuk dijadikan hidangan keluarga.

Tambahnya, jika dijual, bujuk boleh mencecah RM40 bagi setiap kilogram.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI