KUALA LUMPUR – Cukai ke atas industri rokok elektronik (vape) menerusi Belanjawan 2021 dilihat terlalu rendah berbanding kadar dikenakan kepada industri tembakau, menurut syarikat penyelidikan dan teknologi tempatan, MQ Consultant.
Katanya, potensi kerajaan untuk meraih pendapatan daripada cukai vape adalah besar berikutan ramai perokok tembakau termasuk di Malaysia semakin beralih kepada vape berbanding rokok biasa.
Bancian terkini menunjukkan terdapat tiga juta pengguna rokok elektronik di Malaysia pada masa ini.
“Cukai yang dikenakan adalah langkah penting dalam mengawal selia pertumbuhan industri rokok elektronik kerana pasaran rokok itu di Malaysia diunjur muncul sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Amerika Syarikat.
“Berikutan perbezaan ketara antara rokok elektronik dan tembakau, satu kajian teliti ke atas struktur cukai perlu dilakukan kerana kita tidak boleh menggunakan satu ukuran untuk semua,” katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan semalam.
Belanjawan 2021 menetapkan pengenaan duti eksais sebanyak 40 sen untuk setiap mililiter (ml) cecair rokok elektronik yang akan dikuatkuasakan mulai Januari 2021.
Menurut MQ Consultant, Malaysia agak terlewat dalam mengenakan cukai rokok elektronik.
Berbanding di peringkat Asia, negara Indonesia, Filipina serta Korea telah memperkenalkan cukai berkenaan seawal 2011.
Lebih menarik, ketiga-tiga pasaran itu mengenakan tarif cukai yang lebih tinggi berbanding di Malaysia.
Filipina misalnya mengenakan cukai RM3.09 setiap ml, manakala di Indonesia, cecair rokok elektronik (kecuali yang diisi dalam ‘pod’) dikenakan cukai sehingga 57 peratus atau empat kali ganda lebih tinggi berbanding kadar eksais maksimum ke atas rokok biasa.
“Cadangan pengenaan cukai yang tinggi boleh dilihat sebagai satu langkah pencegahan yang baik untuk mengawal tabiat merokok berbanding mengharamkan penggunaannya.
“Meskipun terdapat kes-kes negatif yang terpencil di seluruh dunia, para penyelidik kebanyakannya bersetuju bahawa penggunaan rokok elektronik merupakan pilihan yang lebih baik berbanding dengan rokok tembakau,” katanya.