PETALING JAYA – Jumlah mangsa banjir terus mengalami penurunan dengan angka terbaru dikeluarkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) setakat pukul 12 tengah hari ini, seramai 22,120 orang berbanding 24,722, malam tadi.
Berdasarkan Laporan Harian Bencana Nadma, banjir masih berlaku di 18 daerah di empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor, manakala bagi Sabah, tiada lagi mangsa banjir direkodkan.
Mangsa banjir di Kelantan setakat pukul 12 tengah hari ini seramai 19,167 orang membabitkan 6,365 keluarga, Terengganu (2,576 mangsa membabitkan 689 keluarga), Pahang (314 mangsa membabitkan 79 keluarga), manakala Johor (63 mangsa membabitkan 16 keluarga)
“Sebanyak 93 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) masih aktif dan angka kematian akibat bencana banjir kekal tiga orang,” menurut laporan tersebut.
Laporan Harian Bencana Nadma memberitahu, daerah terlibat bencana banjir di Kelantan setakat pukul 12 tengah hari ini Kuala Krai, Pasir Mas, Tanah Merah dan Tumpat, manakala Johor di daerah Segamat.
Daerah terlibat banjir di Pahang pula Bera, Jerantut, Kuantan, Maran, Rompin, Temerloh, manakala Terengganu daerah Dungun, Hulu Terengganu, Kemaman, Kuala Terengganu, Marang dan Setiu. – KOSMO! ONLINE