KULIM – Seorang nelayan terkejut apabila menemui satu mayat lelaki terapung berhampiran tebing Sungai Muda di Kampung Lesung Tujuh di Padang Serai di sini hari ini.
Mayat reput itu ditemui kira-kira pukul 10 pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, lelaki berusia 43 tahun terbabit pergi ke kawasan sungai itu untuk memeriksa pukatnya.
“Ketika sedang memeriksa pukat ikan, dia ternampak seekor biawak serta terhidu bau busuk seperti bangkai.
“Lelaki itu kemudian meninjau kawasan sekitar sebelum menemui mayat tersangkut pada pokok,” katanya di sini hari ini.
Katanya, pemeriksaan mendapati mayat tersebut telah reput dan dipercayai berada di dalam air sejak kira-kira lima hari lalu.
“Mangsa tidak dapat dikenal pasti selain tiada dokumen pengenalan diri ditemui di lokasi.
“Pemeriksaan mendapati terdapat tatu pada lengan kanan mangsa selain ada tali berwarna merah di tangan kirinya,” ujarnya.
Tambahnya, mayat dibawa ke Bilik Forensik Hospital Kulim untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.
“Kita meminta sesiapa yang kehilangan ahli keluarga supaya tampil ke Balai Polis Padang Serai bagi membantu siasatan,” katanya. – K! ONLINE