KUALA LUMPUR – Selepas 24 tahun ditubuhkan, Sukarelawan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy Malaysia) memilih individu dalam kalangan selebriti iaitu Datuk M. Nasir sebagai Duta Kemanusiaan atau ‘Goodwill Ambassador’ pertubuhan itu yang pertama.
Penyanyi dan komposer itu berkata, beliau terbuka hati menerima pelawaan tersebut atas dasar keprihatinan terhadap situasi yang menimpa dunia ketika ini, selain sedia turun ke lapangan bagi menghulurkan bantuan.
“Selepas melihat keluarga saya dan merenung apa yang berlaku kepada dunia, perkara ini mencetuskan hasrat untuk meringankan beban sesama insan menerusi kolaborasi dengan Mercy Malaysia.
“Pertubuhan ini sememangnya sudah berkembang, dan saya hanya masuk menjadi duta ketika mereka sudah berada di tahap terbaik.
“Tanpa saya hakikatnya mereka juga boleh jalan sendiri, namun saya akan tetap membantu dan melihat usaha yang boleh diberikan kepada masyarakat.
“Mungkin dari segi duit saya tidak boleh bagi, tapi kami akan cari sumber kewangan bersama-sama,” katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Mercy Malaysia di Dataran Muzium Negara, di sini, hari ini.
Sementara itu, Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr. Ahmad Faizal Mohd. Perdaus berkata, pelantikan penyanyi dan maestro muzik itu adalah usaha menyemarakkan nilai serta amalan kemanusiaan dengan lebih meluas kepada segenap lapisan masyarakat.
“Kami amat berbesar hati kerana M. Nasir yang juga tokoh seni tanah air berbesar hati menjadi duta Mercy Malaysia selepas setahun pihak kami membuat penelitian iaitu sebelum mempelawa beliau terbabit dalam kerja kemanusiaan ini.
“Selain itu, lantikan ini dibuat secara berhati-hati sebenarnya kerana sedar sekiranya tersalah pilih (duta), apa sahaja kontroversi yang timbul membabitkan individu dilantik boleh memberi impak kepada kami,” katanya.
Mengulas pemilihan penghibur berusia 66 tahun itu, Ahmad Faizal berkata, perwatakan serta keperibadian tinggi dimiliki penyanyi tersohor tanah air itu antara tarikan untuk merealisasikan kerjasama antara kedua-dua pihak.
“Selain tarikan beliau sebagai ‘superstar’ dalam bidang muzik Malaysia, wajah yang turut dikenali dalam bidang perfileman antara tarikan yang mendorong kami dekati dan mempelawanya dengan rendah hati untuk menjadi duta.
“Antara lain adalah sikap santai M. Nasir yang sangat rapat dengan masyarakat bukan hanya golongan elit bahkan orang biasa seterusnya membuatkan Mercy Malaysia memberi kepercayaan selama tiga tahun sebagai duta,” ujarnya.
Ulasnya, kerjasama strategik antara Mercy Malaysia dan M. Nasir diharap memberi dorongan kuat kepada sektor kemanusiaan di Malaysia dan rantau ini khususnya melalui usaha pembudayaan dengan pengukuhan falsafah kemanusiaan dan advokasi melalui seni budaya dan muzik.
Ini termasuk menjadikan aliran muzik sebagai platform komunikasi massa bagi menyebarkan nilai, prinsip serta maklumat berkaitan isu kemanusiaan. – KOSMO! ONLINE