fbpx

Pentingnya penjagaan fizikal, mental ibu baru bersalin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibu yang baru bersalin memerlukan penjagaan dari segi fizikal dan mental. – Gambar hiasan

BAGI setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga pasti mempunyai keinginan untuk dikurniakan cahaya mata sebagai penyeri keluarga.

Di negara kita, kebanyakan pasangan yang berkahwin tidak mempunyai masalah untuk mendapatkan cahaya mata.

Malah, berdasarkan laporan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah kelahiran hidup di Malaysia meningkat bagi suku pertama 2023 dengan 111,604 kelahiran atau 8.9 peratus direkodkan berbanding suku pertama 2022 hanya 102,466 kelahiran.

Peningkatan angka itu sememangnya sesuatu yang positif buat negara.

Namun, di sebalik peningkatan kelahiran bayi baharu, isu kesihatan ibu dari segi mental dan fizikal tetap sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

Justeru, bagi membincangkan secara intelektual kepentingan penjagaan mental dan fizikal ibu selepas melahirkan anak, satu forum bertajuk Ketenangan Minda Ibu Berpantang: Pusat Jagaan Sebagai Pemulihan Mental dan

Fizikal telah diadakan oleh Narqes Wellness & Confinement Centre di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tiga panel mengupasnya iaitu Pengarah Narqes Wellness Sdn. Bhd., Narqes Mohd. Raimi, pakar obstetrik dan ginekologi di Pusat Perubatan PrimaNora, Datuk Dr. Nor Ashikin Mokhtar dan pakar psikologi klinikal, Khairul Azhar Idris.

Dr. Nor Ashikin berkata, tidak merancang rawatan yang berkesan selepas bersalin untuk ibu baharu boleh menyebabkan beberapa risiko dan komplikasi, baik bagi ibu dan bayi yang baru lahir.

Menurutnya, antara risiko yang boleh dihadapi ibu baharu seperti jangkitan terutamanya dalam kes luka C-seksyen dan episiotomi.

“Selain itu, risiko seperti pendarahan teruk atau hipertensi mungkin berlaku tanpa disedari.

“Tekanan emosi juga boleh berlaku yang menyebabkan ibu baharu kemurungan dan kegelisahan selepas bersalin,” katanya.

Tambahnya, tanpa bimbingan dan sokongan, ibu mungkin menghadapi masalah penyusuan yang membawa kepada masalah seperti bekalan susu yang tidak mencukupi atau mastitis.

Kongsinya, kebanyakan ibu yang baru melahirkan anak juga selalunya mengharapkan keluarganya untuk menjaganya terutama dalam tempoh berpantang.

Jelas Dr. Nor Ashikin, mengharapkan keluarga untuk menjaga kadang kala menyebabkan kita terlepas pandang atau melakukan kesilapan ketika penjagaan selepas bersalin.

“Antara kesilapan biasa dilakukan adalah meremehkan masa pemulihan dan ramai ahli keluarga beranggapan bahawa ibu bersalin akan cepat sembuh selepas bersalin.

“Bagaimanapun, pemulihan boleh mengambil masa berminggu-minggu bahkan ada yang berbulan-bulan dan tempoh masa itu amat penting untuk penyembuhan,” jelasnya.

Selain itu, antara perkara lain yang selalunya penjaga terlepas pandang adalah mengabaikan kesihatan mental ibu yang bersalin.

Ini kerana kemurungan dan kebimbangan selepas bersalin adalah perkara biasa, tetapi selalunya keluarga tidak mengenali tanda-tanda dan gagal untuk mendapatkan bantuan.

“Selain itu, perkara lain yang terlepas pandang adalah berkaitan keperluan pemakanan untuk ibu yang bersalin.

“Pemakanan penting untuk pemulihan dan penyusuan susu ibu oleh itu pemakanan seimbang yang kaya dengan vitamin dan mineral adalah penting,” kata Dr. Nor Ashikin.

Dalam pada itu, Khairul Azhar berkongsi, kemurungan postnatal (PND) atau juga dikenali kemurungan postpartum (PPD) adalah keadaan kesihatan mental yang serius dan nyata serta boleh menjejaskan sesetengah individu selepas bersalin.

Jelasnya, ia bukan sekadar kes ‘baby blues’ iaitu perasaan sedih dan perubahan mood yang biasa dialami ibu baharu dalam beberapa hari atau minggu pertama setelah melahirkan.

“Sebaliknya, kemurungan selepas bersalin boleh menjadi lebih berterusan, teruk dan sering berlangsung selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan jika tidak dirawat.

“Penyebab sebenar kemurungan selepas bersalin masih lagi tidak dapat difahami sepenuhnya, tetapi gabungan faktor fizikal, emosi, dan gaya hidup boleh menyumbang kepada masalah ini.

“Ini termasuk perubahan hormon, kurang tidur, tekanan, sejarah masalah kesihatan mental dalam keluarga dan pelbagai faktor sosial dan persekitaran yang lain,” ulasnya.

Sementara itu, Narqes menjelaskan pentingnya kemudahan pusat jagaan ibu bersalin.

“Di rumah, penjagaan selalunya tidak formal dan bergantung bantuan keluarga atau pembantu rumah, sebaliknya di Narqes Confinement Centre persekitaran serta rutin harian lebih tersusun dan teratur disediakan.

“Jadi, ibu boleh berehat dengan lebih tenang dan selesa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI