TINDAKAN pempengaruh dan usahawan wanita, Aisyah Hijanah memindahkan harta sepencarian kepada namanya setelah suami, Aliff Teega berpoligami menerima pujian ramai.
Harta sepencarian yang dimaksudkan termasuklah pegangan perniagaan tudung, rumah, kereta dan aset-aset lain.
Rata-rata berpendapat wanita yang bakal menyambut kelahiran anak ketiganya itu bijak dalam memastikan haknya bersama anak-anak terjamin.
Tidak kurang juga yang menganggap isteri kedua Aliff kini berputih mata setelah lelaki itu disifatkan sebagai ‘tinggal sehelai sepinggang.’
Namun, terdapat persoalan sejauh mana hak isteri kedua dalam hasil sepencarian suami bersama isteri pertama jika proses pemindahan harta sedemikian tidak dilakukan?
Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Musa Awang berkata, penting untuk umum memahami terlebih dahulu berkenaan harta sepencarian.
“Harta sepencarian adalah harta yang diperoleh suami dan isteri dari mula tarikh nikah sehingga pasangan bercerai atau meninggal dunia.
“Ia sama ada diperoleh dengan usaha tunggal salah satu pihak atau atas usaha bersama,” katanya kepada Kosmo!.
Katanya, usaha itu meliputi sebarang sumbangan dalam bentuk kewangan yang menambah nilai kepada harta yang dimiliki mereka sepanjang tempoh perkahwinan tersebut.
Selain kewangan, sumbangan secara tidak langsung pasangan seperti menjaga rumah tangga dan besarkan anak-anak juga diambil kira.
Ujarnya, apabila suami berkahwin dua, harta sepencarian sejak dari suami berkahwin baru perlu dibahagi tiga, kecuali harta yang diperoleh sebelum suami berkahwin baharu.
“Hak isteri kedua terhadap hasil sepencarian suami bersama isteri pertama, berdasarkan sumbangan yang dimajukan sepanjang tempoh poligami berlaku. Hak isteri kedua bermula sejak tarikh ijab kabul di antara dirinya dan sang suami sahaja,” jelasnya.
Merujuk kepada situasi pempengaruh tersebut, Musa turut berpendapat bahawa tindakan wanita berusia 25 tahun tersebut merupakan yang terbaik, namun masyarakat harus faham tentang situasi sebenar.
Katanya, tiada istilah menuntut 100 peratus harta sepencarian kerana ia secara dasarnya perlu dibahagikan kepada pihak-pihak yang berhak.
Bahkan, mahkamah syariah merupakan pihak bertanggungjawab yang akan menentukan kelayakan peratusan hak harta tersebut.
“Aisyah dapat 100 peratus sebab suami gugurkan hak harta sepencariannya dan beri semua kepada Aisyah.
“Oleh itu sekiranya suami bersetuju untuk gugurkan haknya, barulah isteri dapat memperoleh 100 peratus,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Musa berkata, harta sepencarian yang digugurkan adalah setakat sebelum hadir isteri kedua sahaja.
Ini kerana isteri kedua memiliki hak terhadap harta sepencarian suami sebaik sahaja mereka bernikah.
Untuk rekod, Aliff yang juga seorang pempengaruh mengumumkan dia sudah bernikah lagi dengan wanita pilihannya pada 23 November lalu.
Pendedahan yang dibuat dua hari selepas tarikh pernikahannya adalah bertujuan untuk mengelak daripada sebarang fitnah terhadap dirinya, isteri dan keluarga.