KUALA TERENGGANU – Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu sejak Sabtu lalu semakin memulih dengan hanya 4,476 daripada 1,216 keluarga masih berlindung di 45 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negeri ini hari ini.
Besut menjadi daerah pertama pulih sepenuhnya pulih daripada banjir setelah 66 mangsa daripada 19 keluarga yang sebelum ini berada di PPS Dewan Terbuka Kampung Belaoh dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Jurucakap Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu berkata, Dungun kekal daerah paling terjejas dengan 2,892 mangsa daripada 795 keluarga berada di 30 PPS.
“Seramai 642 mangsa daripada 179 keluarga pula berada di empatPPS di Hulu Terengganu.
“Sebanyak 392 mangsa daripada 105 keluarga kekal berada di dua PPS di Kuala Nerus,” katanya di sini semalam.
Jurucakap Sekretariat JPBN Terengganu berkata, Kemaman masih mempunyai 204 mangsa daripada 50 keluarga di tiga PPS.
Tambah beliau, seramai 188 mangsa daripada 49 keluarga berada di tiga PPS di Kuala Terengganu.
“PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Merchang, Marang pula kekal mempunyai 121 mangsa daripada 31 keluarga.
“Setiu pula masih mempunyai 37 mangsa daripada tujuh keluarga yang berlindung di dua PPS,” katanya. – KOSMO! ONLINE