PETALING JAYA – Seorang pelancong di Pulau Pangkor, Perak meluahkan rasa geram apabila kenderaan yang di parkir berhampiran sebuah kawasan peranginan terkenal di situ mencecah RM46.
Menerusi perkongsian di Facebook Perak Press, pelancong berkenaan mempersoalkan kadar bayaran yang dikenakan kerana tempoh parkir tersebut tidak melebihi 48 jam.
“Parkir pada 26 Disember pukul 5.38 petang dan keluar pada 27 Disember pukul 6.09 petang. Bayar RM46.
“Genting Highland pun tak macam ini. Kalau tauke tak kaya lagi tak tahu lah. Taubat, ini kali terakhir aku pergi sana” kata pelancong terbabit.
Sehubungan itu, rata-rata berkongsi pengalaman sama dan menyifatkan parkir di kawasan berkenaan adalah terlalu tinggi dan tidak masuk akal.
“Saya telah mengalami pengalaman sama. Mereka kira ikut tarikh, bukannya ikut jam,” kata Muhammad.
“Haritu pun parkir di sebelah luar. Dia bantai RM60. Sehari RM20 katanya. Padahal aku ambil dua hari sahaja,” ujar Asrie.
“Baru juga pergi, kena harga sama RM46. Selepas ini pergi Thailand sahaja lah melancong,” jelas Nurul Asyikin. – KOSMO! ONLINE