BRIGHTON – Kapten Liverpool, Jordan Henderson tanpa berselindung mahu Video Bantuan Pengadil (VAR) dihapuskan bagi membolehkan saingan bola sepak kembali seperti dahulu.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Brighton di Stadium Amex kelmarin, Liverpool sekadar mencatat keputusan seri 1-1 gara-gara VAR.
Ketika The Reds dilihat hampir pasti membawa pulang tiga mata, pengadil perlawanan, Stuart Attwell menghadiahkan sepakan penalti kepada Brighton pada waktu kecederaan selepas merujuk VAR.
“Saya tidak mahu bercakap mengenai perkara ini tetapi saya perlu suarakannya. Secara jujur, saya mahu saingan bola sepak kembali seperti dahulu.
“Sebelum ini Kevin De Bruyne pernah suarakan peraturan bola sepak sudah banyak berubah sejak VAR diperkenalkan. Bagi saya, ia adalah masalah yang sangat besar,” luah Henderson.
Selain memberikan sepakan penalti kepada Brighton, pengadil juga turut membatalkan dua jaringan Liverpool selepas mendapati Mohamed Salah dan Sadio Mane berada dalam kedudukan ofsaid.
“Sebelum ini ketiak pemain mengakibatkan ofsaid tetapi kali ini jari kaki (Salah). Apa sahaja yang mereka lakukan, saya fikir ia betul,” sindir pengurus Liverpool, Jurgen Klopp. – AGENSI