KEMAMAN – Keresahan mangsa banjir di Kemaman berhadapan dengan rumah yang diselaputi lumpur tebal sedikit terubat apabila dibantu 150 sukarelawan Khidmat Malaysia Terengganu.
Pengerusi Khidmat Malaysia Terengganu,
Hanafiah Mat berkata, kumpulan sukarelawan tersebut membantu penduduk membersihkan rumah penduduk selepas mangsa-mangsa banjir berkenaan dibenarkan kembali ke rumah masing-masing hari ini.
“Kita prihatin dengan nasib penduduk yang menghadapi kesukaran membersihkan rumah masing-masing yang dipenuhi lumpur tebal.
“Sebanyak 10 penyembur air berkuasa tinggi digunakan untuk kerja-kerja pembersihan terbabit,” katanya selepas menyertai kerja-kerja pembersihan rumah penduduk di Kampung Teladas di sini hari ini.
Hanafiah berkata, Khidmat Malaysia Terengganu juga bercadang untuk menghulurkan bantuan kepada kepada mangsa banjir terlibat khususnya di Kampung Teladas.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata, kemusnahan yang dialami penduduk perkampungan tersebut ekoran banjir yang berlaku pada kelmarin agak besar.
“Bukan sahaja banyak barangan elektrik dan perabot rosak, anak-anak mereka juga kehilangan buku teks dan baju seragam sekolah,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Teladas, Yazid Yasin berkata, pihaknya amat menghargai kerja sukarelawan yang dilakukan Khidmat Malaysia Terengganu. – K! ONLINE