PUTRAJAYA – Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara serta mangsa yang terjejas akibat banjir.
Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya amat bersimpati dan sedih akan musibah yang menimpa mangsa banjir di beberapa negeri yang terkesan sejak beberapa hari lalu.
“Saya telah mengarahkan agensi-agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun dan membantu mangsa-mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.
“Saya juga akan bersama agensi-agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara-saudara kita yang terkesan di negeri-negeri terjejas,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Katanya, semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini.
“Penghargaan juga dizahirkan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir,” ujarnya.
Dalam pada itu Mohd. Na’im memaklumkan, hari ini beliau akan tiba di Kuala Lumpur setelah selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun.
Jelasnya, lawatan ini telah beliau singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia. – KOSMO! ONLINE