KOTA BHARU – Bilangan mangsa banjir di Kelantan melonjak kepada 21,380 orang hari ini berbanding 17,378 orang petang semalam.
Meskipun cuaca baik sepanjang malam tadi, jumlah mangsa yang terjejas terus menunjukkan peningkatan sebanyak 4,002 orang.
Sektretariat Pengurusan Bencana Kelantan berkata, setakat pukul 8 pagi tadi, sebanyak lima daerah masih terjejas iaitu Tumpat, Pasir Mas, Tanah Merah, Kuala Krai dan Gua Musang.
Menurut kenyataan itu, kesemua mangsa daripada 6,918 keluarga itu ditempatkan di 68 buah pusat pemindahan sementara (PPS).
“Daripada jumlah itu, daerah Pasir Mas merekodkan mangsa bah paling tinggi membabitkan 18,289 orang yang berlindung di 37 buah PPS, Tumpat (1,507), Kuala Krai (1,136), Tanah Merah (327) dan Gua Musang (118).
“Selain itu, bacaan paras air di Sungai Golok di Rantau Panjang masih berada pada tahap amaran,” katanya.
Jelas kenyataan itu, Sungai Kelantan di Tangga Krai (Kuala Krai), Kusial (Tanah Merah) dan Tambatan Diraja (Kota Bharu) melepasi paras amaran sementara Sungai Gook di Jenob, Tanah Merah berada pada berjaga-jaga.
Tambahnya, sungai-sungai lain di negeri ini bagaimanapun masih mencatatkan bacaan normal. – KOSMO! ONLINE