NEW DELHI – Sejumlah orang ramai berkerumum untuk melarikan ayam selepas sebuah lori membawa ternakan tersebut terlibat dalam kemalangan ketika kabus tebal menyelubungi sebuah lebuh raya di Agra, India hari ini, lapor portal berita Post English.
Banyak kenderaan terlibat dalam kemalangan itu, manakala para pemandu yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
Sebuah lori yang mengangkut ayam terbalik dan banyak haiwan tersebut mati.
Menurut portal India Today, orang ramai tidak melepaskan peluang apabila dilihat tergesa-gesa mengambil ayam dan melarikan diri dari tempat kejadian.
Ada yang bertindak lebih jauh dengan memasukkan ayam ke dalam guni.
Ketika anggota-anggota polis dan orang lain berusaha untuk membawa mereka yang cedera ke hospital dan membantu mengurangkan kesesakan, sejumlah penduduk telah melakukan ‘rompakan’ ayam.
Sejumlah pengguna lebuh raya memberhentikan kenderaan untuk mengambil ayam, malah ada antara mereka berlari sambil memegang beberapa ekor ayam dengan senyuman terukir di wajah masing-masing, lapor Indian TV. – AGENSI