LAS VEGAS, NEVADA – Sebuah video tular yang dikongsi di laman perbincangan Reddit memaparkan situasi cemas seekor singa jantan menyerang pekerja zoo sebelum insiden itu dihentikan oleh seekor singa betina, lapor portal berita Unilad kelmarin.
Berdasarkan video tersebut, dua pekerja zoo di Las Vegas itu pada awalnya dilihat mengawasi sepasang singa yang berehat di dalam kandang.
Situasi tenang bertukar kecoh apabila singa jantan secara tiba-tiba menyerang salah seorang pekerja sehingga membuatkan dia terjatuh.
Ketika seorang lagi kakitangan cuba membantu, singa betina melompat ke atas badan singa jantan lalu menggigit ekornya dan berada di antara pasangannya dan pekerja zoo terbabit.
Singa jantan akhirnya menghentikan serangan dan menjauhi kedua-dua pekerja zoo tersebut sambil diiringi oleh singa betina.
Berdasarkan komen yang ditinggalkan di Reddit, rata-rata netizen menjelaskan bahawa cara pekerja zoo terbabit memandang singa jantan dan bahasa tubuhnya memberi isyarat bahawa dia mengajak Raja Rimba itu untuk bertarung. – AGENSI