fbpx

Malaysia pilihan ke-3 warga Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pembinaan deretan jajaran yang merentasi Selat Tebrau yang menghubungkan Johor Bahru dan Singapura berjalan lancar di Stulang Laut, Johor Bahru. UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

PETALING JAYA – Malaysia merupakan destinasi pilihan ke-3 bagi warga Singapura untuk membeli hartanah di belakang Australia dan Thailand, menurut firma hartanah, Juwai IQI.

Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Kashif Ansari berkata, ia berdasarkan data pertanyaan pembeli dari Singapura untuk membeli harta­nah di luar negara pada platform Juwai IQI bagi tempoh Januari 2020 hingga November 2023.

Jelasnya, Australia merupakan pilihan utama dengan kadar peratusan tertinggi sebanyak 27.5 peratus, diikuti Thailand (16.5 peratus), Malaysia (13.2 peratus), Jepun (12.6 peratus) dan United Kingdom (6.6 peratus).

“Australia merupakan destinasi utama untuk jutawan, yang mana kira-kira 5,200 jutawan berpindah ke Australia tahun ini berbanding 4,500 yang berpindah ke Emiriah Arab Bersatu dan 2,100 ke Amerika Syarikat, menurut data Henley & Partners.

“Oleh kerana pembeli Singa­pura cenderung mempunyai wang tunai yang mencukupi, mereka mempunyai kelebihan dalam pasaran seperti Australia, yang mana kadar gadai janji adalah tinggi.

“Sementara Thailand juga me­narik kerana harganya amat rendah berbanding rumah di Si­ngapura.

“Selain kondominium di Bangkok, hartanah percutian seperti resort di Phuket dan Pattaya juga popular dalam kalangan rakyat Singapura kerana gaya hidup yang ditawarkan pada harga berpatutan,” katanya dalam satu kenyataan.

Kashif menambah, Malaysia pula adalah pilihan yang logik disebabkan lokasi dan hubungan ekonominya dengan Singapura.

“Projek Sistem Transit Rapid (RTS), yang bakal mengalihkan 10,000 individu sejam antara kedua-dua negara kini lebih separuh siap dan bakal menambah bilangan rakyat Singapura yang menjalani gaya hidup rentas sempadan, dengan rumah pertama atau kedua di Johor Bahru dan bekerja di Singapura.

“IQI, rangkaian agensi yang menjadi ahli kami melihat pe­ningkatan 17 peratus dalam transaksi pembeli Singapura di Johor Bahru pada suku pertama 2023, berbanding tempoh sama tahun lepas,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI