KUANTAN – Seramai 19 bakal jemaah umrah berputih mata selepas terperdaya dengan pakej umrah berharga RM5,990 yang ditawarkan sebuah syarikat pelancongan.
Kesemua mereka hadir untuk membuat laporan polis ke atas syarikat berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, di sini hari ini.
Mangsa, Kamarudin Yahaya, 65, berkata, impiannya untuk membawa empat ahli keluarganya mengerjakan umrah musnah selepas dia berasa tertipu dengan syarikat berkenaan.
Katanya, dia membuat bayaran penuh sebanyak RM30,000 kepada syarikat tersebut, namun sehingga kini syarikat terbabit tidak memberikan sebarang maklum balas.
“Kami dijadualkan pergi umrah pada 1 November lalu, tetapi ditunda kepada 4 November lepas dan sekali lagi ditunda pada Februari tahun hadapan tanpa sebarang tarikh. Dari situ timbul satu kemusykilan,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Norafi Mustafa, 55, berkata, dia tidak menyangka perkara itu berlaku ke atas dirinya kerana ini merupakan kali kedua dia menggunakan perkhidmatan syarikat sama. Dia mendakwa pakej kali ini lebih murah berbanding sebelumnya iaitu RM8,000.
“Saya yang bertindak sebagai konsultan syarikat berkenaan dengan mengajak 13 saudara dan rakan untuk turut serta.
“Kami ada mendapatkan maklum balas daripada syarikat dan dimaklumkan mereka menukar pengurusan baharu. Kami dimaklumkan akan terbang pada 12 Februari dengan syarikat baharu selepas bermesyuarat melalui aplikasi Zoom.
“Namun selepas siasat kami dapat tahu tiada sebarang transaksi bayaran dibuat kepada syarikat baharu yang menguruskan penerbangan kami. Apabila ditanya mereka hanya mendiamkan diri,” ujarnya
Difahamkan masih terdapat lagi individu yang menjadi mangsa syarikat berkenaan yang menawarkan pakej di seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. – KOSMO! ONLINE