fbpx

Konflik Palestin-Israel: Tentera Israel didakwa curi organ penduduk Gaza

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAZAH penduduk Palestin dibawa dengan jentolak di Rafah, Semenanjung Gaza kelmarin. - Foto AFP

BANDAR GAZA – Rejim Zionis kelmarin memulangkan 80 jenazah penduduk Palestin yang terkorban di Semenanjung Gaza selepas mengeluarkan jenazah berkenaan dari bilik mayat dan kubur untuk memastikan tiada mayat tebusan Israel, kata sumber Kementerian Kesihatan Gaza.

Semua jenazah itu yang telah dibawa ke Israel, dikembalikan semula menerusi Pertubuhan Palang Merah kepada pihak berkuasa Hamas yang kemudian mengebumikan mereka di dalam sebuah kubur besar di Gaza, kata sumber tersebut.

Seorang jurugambar agensi berita AFP melihat seorang penggali kubur menurunkan beg jenazah berwarna biru ke dalam lubang besar di Rafah, jauh di selatan Gaza.

Kira-kira 250 tebusan termasuk warga asing telah ditawan dan dibawa ke Semenanjung Gaza oleh pejuang Hamas apabila mereka menyerang selatan Israel pada 7 Oktober lalu.

Serangan itu menyebabkan 1,140 orang terbunuh termasuk rakyat Israel dan warga asing, demikian menurut pengiraan AFP.

Setakat kelmarin, terdapat kira-kira 129 tebusan yang masih ditahan di Gaza.

Semua jenazah warga Palestin itu diserahkan kepada Palang Merah melalui Lintasan Sempadan Kerem Shalom yang menghubungkan Israel dan Semenanjung Gaza.

Namun, tentera Israel tidak mengulas mengenai pemulangan semula kumpulan jenazah tersebut.

Israel telah berikrar untuk menghapuskan Hamas yang memerintah Semenanjung Gaza berikutan serangan pada 7 Oktober lalu.

Lebih 20,900 orang terbunuh dalam serangan balas dendam tentera Israel di Gaza, kebanyakan mereka ialah wanita dan kanak-kanak, kata Kementerian Kesihatan, manakala lebih 54,000 lagi cedera.

Sementara itu, portal berita Quds News Network melaporkan Pejabat Media Kerajaan (GMO) sebagai berkata, tentera Israel ada menghantar pulang 80 jenazah tetapi organ dalaman mereka telah dicuri.

“Tentera Israel juga enggan mendedahkan nama-nama dan lokasi dari mana jenazah itu dibawa semasa perang di Gaza.

“Selepas pemeriksaan, jelas bahawa ciri-ciri jenazah ini telah berubah dengan ketara yang merupakan bukti jelas bahawa Israel mencuri organ (di dalam tubuh mangsa yang terkorban).

GMO menambah, ini bukan kali pertama Israel melakukan jenayah sedemikian.

Menurutnya, tentera Israel pernah menggali kubur-kubur di kem pelarian Jabalia, Semenanjung Gaza, mencuri jenazah penduduk Palestin dan menyimpannya.

Justeru, GMO menggesa supaya sebuah suruhanjaya siasatan bebas ditubuhkan untuk menyiasat kecurian jenazah dan organ dalaman mangsa yang terkorban oleh Israel.

Euro-Med sebelum ini berkata, pihaknya bimbang tentang kemungkinan kecurian orang daripada jenazah rakyat Palestin.

Menurut Euro-Med, pihaknya telah mendokumentasikan tindakan tentera Israel merampas berpuluh-puluh mayat dari Hospital al-Shifa dan Hospital Indonesia di utara Gaza serta pusat perubatan lain di selatan Gaza.

Pakar-pakar perubatan dilaporkan mendapati bahagian penting seperti hati, buah pinggang, jantung, koklea dan kornea hilang yang merupakan bukti berlakunya kecurian organ. – AFP/Quds News Network

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI