fbpx

‘Atuk’ dipenjara 10 tahun buat amang seksual terhadap cucu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lelaki warga emas itu menerima keputusan jatuh hukum penjara 10 tahun ketika dirawat di HTAR. FOTO SADDAM YUSOFF/ KOSMO!

KLANG – Perbuatan jijik seorang datuk melakukan amang seksual fizikal terhadap cucu saudaranya yang merupakan seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun akhirnya berbalas apabila terpaksa menghabiskan sisa hidupnya dalam penjara selama 10 tahun.

Hukuman itu dijatuhi Hakim Mahkamah Sesyen Syafeera Mohd. Said terhadap tertuduh berusia 67 tahun itu, selepas pihak pembelaan gagal membuktikan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Pada prosiding jatuh hukum dibuat di dalam sebuah wad di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Syafeera juga memerintahkan tertuduh menjalani kaunseling sepanjang tempoh pemenjaraan itu.

“OKT (orang kena tuduh) juga dikenakan perintah pengawasan selama dua tahun selepas tamat tempoh penjaranya,” katanya.

Terdahulu, tertuduh yang sepatutnya hadir ke Mahkamah Sesyen di sini didapati sesak nafas di rumahnya di sekitar daerah ini sebelum dibawa ke HTAR untuk rawatan lanjut.

Tertuduh yang sepatutnya menjalani pemenjaraan di penjara Kajang bermula hari ini, bagaimanapun dibenarkan menangguhkan hukumannya oleh mahkamah.

Ini selepas mengambil kira umur tertuduh ketika ini dan sedang mendapat rawatan di HTAR kerana sesak nafas selain mempunyai sejarah penyakit jantung.

Mengikut pertuduhan, lelaki warga emas itu didakwa telah melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun di sebuah rumah di Meru di sini, pukul 5,30 petang pada 21 April 2021.

Terdahulu, Peguam M. Thanakumaran mewakili tertuduh dalam mitigasinya memaklumkan anak guamnya mempunyai penyakit kronik iaitu masalah jantung.

“OKT juga adalah seorang suami, seorang bapa dan seorang datuk. Mangsa tidak mengalami apa-apa kecederaan fizikal akibat daripada kejadian.

“Sekiranya hukuman penjara yang lama dan sebatan dikenakan, keadaan kesihatan OKT akan menjadi lebih kronik. Pohon hukuman pemenjaraan yang singkat,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur’ Ayuni Jamri bagaimanapun menegaskan, perbuatan tertuduh yang telah melakukan amang seksual berbentuk fizikal kepada mangsa ini menunjukkan bahawa tertuduh tidak mengendahkan undang-undang negara dan hukum hakam agama yang jelas melarang perbuatan ini.

“Tertuduh juga tiada sifat ihsan dan belas kasihan terhadap mangsa yang begitu muda dan telah mengambil kesempatan terhadap mangsa yang tidak mampu untuk mempertahankan dirinya di usia lapan tahun, dalam keadaan tertuduh yang jauh lebih tua daripada mangsa. Perbezaan umur antara mereka adalah sebanyak 57 tahun.

“Saya juga pohon mahkamah yang mulia ini mengambil kira trauma yang dialami oleh mangsa akibat daripada perbuatan tertuduh yang jijik dan terkutuk ini,” katanya.

Sepanjang perbicaraan bermula Februari lalu, sebanyak enam saksi pendakwaan dikemukakan manakala pihak pembelaan pula membawa tiga orang saksi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI